KUALA LUMPUR - PAS perlu mempertimbangkan kemungkinan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekali gus memberi isyarat, ketegangan semakin memuncak dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kedua-dua parti utama PN itu masih boleh mengekalkan hubungan yang baik di luar arena politik walaupun kerjasama dalam pilihan raya mungkin tidak lagi diperlukan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau dengan sinis berkata, ‘pihak’ dimaksudkan boleh mencari rakan seperjuangan lebih baik untuk bekerjasama.
“Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau.
“Selamat Maju Jaya,” katanya, menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Fadhli dipercayai merujuk kepada kenyataan yang dikaitkan dengan pemimpin BERSATU, termasuk ucapan dibuat Setiausaha Agung parti terbabit, atuk Seri Mohamed Azmin Ali di Melaka, yang kini tular di pelbagai platform.
Menerusi ucapan berkenaan, Azmin dipetik sebagai berkata, dakwaan BERSATU bergerak tanpa memiliki jentera pilihan raya adalah tidak berasas.
Mengulas lanjut Fadhli berkata, kenyataan tersebut mencerminkan masalah lebih mendalam antara kedua-dua parti, dan penafian terhadap kelemahan organisasi hanya akan melemahkan kerjasama politik.
“Apabila kedengaran sayup-sayup di Melaka ada pemimpin BERSATU yang berkata bahawa pekaklah sesiapa yang menyatakan partinya tiada jentera, maka itu bermakna sudah tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni lagi.
“Bukanlah satu kesalahan jika sesebuah parti itu tiada jentera tambahan pula jika ia parti baru, tetapi yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan itu,” katanya.
Bidasnya usaha memperkukuhkan struktur parti adalah wajar sekiranya dilakukan secara konstruktif, namun beliau memberi amaran, ketidakstabilan dalaman yang berpanjangan boleh mencerminkan kelemahan strategi lebih besar.
"Tiada masalah jika kekurangan jentera diikuti dengan usaha pemantapan parti.
“Tetapi jika dalam tempoh bertahun-tahun selepas pilihanraya asyik berantakan, ia bukan memantapkan parti. Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan,” katanya. -,Getaran, 31 Mei 2026





