
KUALA LUMPUR - Ketegangan politik dalam Perikatan Nasional (PN) Perlis semakin memuncak selepas Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, memberi amaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan dibubarkan sekiranya wakil rakyat PAS meneruskan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang DUN akan datang.
Perkembangan itu mencetuskan spekulasi mengenai keretakan hubungan antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan politik negeri berkenaan walaupun PN masih mentadbir Perlis.
Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain memohon pembubaran DUN sekiranya terdapat usaha untuk menjatuhkan beliau daripada jawatan Menteri Besar.
Menurut beliau, pentadbiran kerajaan negeri ketika ini dibentuk hasil peralihan politik, selain Raja Perlis sebelum ini turut memberi amanah kepadanya untuk memastikan kestabilan kerajaan gabungan itu terus terpelihara selepas pelantikannya sebagai Menteri Besar.
“Namun, jika perkara yang tidak diingini berlaku, iaitu usul undi tidak percaya dikemukakan, saya tiada pilihan selain membubarkan DUN.
“Jika perkara itu berlaku atau terdapat tanda-tanda ia akan berlaku, saya akan membuat keputusan tersebut kerana tiada pilihan lain.
“Jika ada mana-mana pihak membawa usul undi tidak percaya dalam sidang nanti, maka kita bubarkan DUN. Apa masalahnya? Sebagai ahli politik, saya tidak pernah takut,” katanya, seperti dilaporkan Malay Mail selepas merasmikan program Malam Citra Warna Kuala Perlis 2026 di Kangar.
Sidang DUN Perlis dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Jun depan.
Pada masa sama, timbul spekulasi bahawa enam ADUN PAS dijangka mencabar kepimpinan Abu Bakar dalam sidang berkenaan.
Ketegangan tersebut dipercayai semakin memuncak susulan kenyataan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mendakwa BERSATU telah mengkhianati semangat kerjasama dalam PN.
Beliau turut mendakwa, parti berkenaan sebelum ini pernah menyokong usaha untuk menjatuhkan seorang Menteri Besar daripada PAS di Perlis, selain memaklumkan bahawa kepimpinan parti akan menentukan hala tuju politik seterusnya di negeri berkenaan.
Perkembangan terbaharu itu turut meningkatkan perhatian terhadap kedudukan PN di Perlis, terutama ketika PAS dilihat sedang menilai semula bentuk kerjasama politik dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sebelum ini, ketegangan politik dalam pentadbiran negeri mula tercetus apabila enam ADUN PAS secara terbuka menuntut penjelasan daripada Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang asalnya dijadual berlangsung pada 21 hingga 23 April lalu.
Kumpulan itu diketuai oleh bekas Menteri Besar Perlis merangkap ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli, dan turut melibatkan ADUN Kuala Perlis, Muhammad Azmir Azizan; ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil; ADUN Simpang Empat, Razali Saad; ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad; serta ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun.
Bagaimanapun, Abu Bakar menafikan dakwaan bahawa penangguhan sidang DUN itu berkait dengan kebimbangan beliau akan disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar.
Beliau turut menegaskan, pentadbiran PN di Perlis masih kekal stabil meskipun wujud perbezaan pandangan yang semakin terbuka antara pemimpin PAS dan BERSATU di peringkat nasional.
“Kami dalam PN Perlis masih mengekalkan semangat persaudaraan. Apa sahaja boleh berubah mengikut dinamika politik semasa.
“Namun, Perlis masih kekal di bawah pentadbiran kerajaan PN,” katanya. - Getaran, 23 Mei 2026





