SHAH ALAM - Platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara, CARSOME mencatatkan pertumbuhan positif pada suku pertama tahun ini apabila merekodkan keuntungan kasar bagi setiap unit (GPU) tertinggi dalam sejarah syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME, Eric Cheng berkata, GPU meningkat 30 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada kira-kira RM5,300 bagi setiap unit berbanding tempoh sama tahun lalu.
**media[3539556]**
Menurutnya, jumlah keuntungan kasar turut meningkat 25 peratus kepada RM158 juta, manakala EBITDA melonjak 85 peratus kepada kira-kira RM29 juta.
"Meskipun persekitaran serantau masih tidak sekata, platform bersepadu yang dibina menghasilkan ekonomi unit yang konsisten dan peluang pertumbuhan lebih besar daripada skala operasi semasa.
"Peningkatan prestasi didorong oleh sumbangan jualan runcit yang lebih kukuh, peningkatan kadar pembiayaan pelanggan serta kecekapan operasi dalam pengurusan inventori serta proses baik pulih kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
**media[3539552]**
Dalam perkembangan sama beliau memaklumkan, Malaysia dan Singapura terus mencatatkan prestasi operasi yang kukuh pada suku pertama tahun ini hasil permintaan pengguna terhadap penyelesaian pemilikan kereta yang lebih bernilai serta pertumbuhan pembiayaan yang stabil.
Bagaimanapun jelasnya, keadaan pasaran di Indonesia dan Thailand kekal mencabar susulan faktor makroekonomi serantau serta pendekatan kredit pengguna yang lebih berhati-hati.
**media[3539559]**
Sehingga kini, syarikat itu telah membuka lima bilik pameran dan pusat pemeriksaan baharu termasuk di Putrajaya dan Alor Setar.
"CARSOME turut memperluaskan kerjasama pembiayaan strategik dengan JACCS ke Singapura bagi meningkatkan akses pembiayaan kepada pelanggan runcit.
**media[3539555]**
"Syarikat menjangkakan pertumbuhan transaksi dan EBITDA akan terus meningkat pada suku kedua 2026 disokong oleh permintaan runcit yang berterusan serta peningkatan kecekapan operasi," ujarnya.
end//

