CARSOME catat keuntungan dua tahun berturut-turut, EBITDA melonjak lebih dua kali ganda

Business & Finance
4 Mar 2026 • 10:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ebidta CARSOME meningkat lebih dua kali ganda kepada AS23 juta. Foto kecil Eric Cheng
image is not available
Keuntungan kasar CARSOME meningkat 16 peratus tahun ke tahun (Y-o-Y), manakala keuntungan kasar bagi setiap unit (GPU) melonjak 22 peratus Y-o-Y ke paras tertinggi baharu.

PETALING JAYA – CARSOME Group Inc. (CARSOME) mencatatkan prestasi kewangan tertinggi dalam sejarah syarikat bagi tahun kewangan 2025 (FY2025) apabila merekodkan keuntungan bagi tahun kedua berturut-turut.

Platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara itu memaklumkan ebidta meningkat lebih dua kali ganda kepada AS23 juta, sekali gus mengukuhkan laluan keuntungan berstruktur yang dibina sejak dua tahun lalu.

Ebidta merujuk kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, yang lazimnya digunakan untuk mengukur prestasi operasi sebenar sesebuah syarikat.

Dalam kenyataan pada Selasa, syarikat itu berkata, keuntungan kasar meningkat 16 peratus tahun ke tahun (Y-o-Y), manakala keuntungan kasar bagi setiap unit (GPU) melonjak 22 peratus Y-o-Y ke paras tertinggi baharu.

**media[3452230]**

Menurut CARSOME, pertumbuhan menguntungkan itu dipacu terutamanya oleh perniagaan teras di Malaysia dan Singapura yang terus mencatatkan volum kukuh meskipun keadaan pasaran serantau agak perlahan.

Sepanjang FY2025, CARSOME memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu bagi meningkatkan nilai kepada pelanggan termasuk peluasan pembiayaan untuk rangkaian pengedar serta tawaran Value Plus yang lebih mampu milik kepada pelanggan runcit.

Syarikat itu turut memeterai beberapa kerjasama strategik utama dengan institusi kewangan terkemuka, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan kumpulan berkenaan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CARSOME, Eric Cheng berkata, FY2025 merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan syarikat tersebut.

“FY2025 menandakan satu detik penting buat CARSOME. Selepas beberapa tahun membina asas yang kukuh, kami kini menyaksikan usaha tersebut membuahkan hasil dan mengekalkan keuntungan secara mampan,” katanya.