Caruman KWSP Wajib Untuk Pekerja Bukan Warganegara

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2025 • 4:10 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Caruman KWSP Wajib Untuk Pekerja Bukan Warganegara Mulai Oktober 2025

Mulai gaji bulan Oktober 2025, semua majikan di Malaysia diwajibkan untuk mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi setiap pekerja bukan warganegara yang memiliki pas kerja yang sah.

Peraturan ini dilaksanakan selaras dengan langkah kerajaan melalui Belanjawan 2025 bagi memastikan golongan pekerja asing turut menikmati kemudahan simpanan persaraan yang teratur dan terjamin.

Langkah ini juga bertujuan memperkukuh sistem perlindungan sosial negara agar lebih menyeluruh tanpa mengira status kewarganegaraan.

Dengan pelaksanaan caruman mandatori ini, pekerja bukan warganegara ini bukan sahaja dilindungi dari segi kewangan pada masa hadapan malah ia turut mewujudkan suasana pekerjaan yang lebih adil dan telus antara majikan serta pekerja.

Secara tidak langsung, dasar baharu ini juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan majikan terhadap ekosistem tenaga kerja di Malaysia.

Kewajipan majikan dan tarikh akhir bayaran caruman

Majikan perlu mula mendaftarkan pekerja bukan warganegara sebagai ahli KWSP dan mencarum bermula gaji Oktober 2025. Bayaran caruman pula mesti dibuat pada atau sebelum 15 haribulan bulan berikutnya.

Sebagai contoh, bagi gaji bulan November 2025, caruman perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada 15 Disember 2025.

Majikan bertanggungjawab membayar kedua-dua bahagian caruman iaitu syer majikan dan syer pekerja serta dibenarkan membuat potongan terus daripada gaji pekerja bagi bahagian syer pekerja.

Kadar caruman KWSP pekerja bukan warganegara

Bermula pelaksanaan ini, kadar caruman bagi pekerja bukan warganegara Malaysia adalah seperti berikut:

  • Syer Majikan: 2% daripada gaji bulanan
  • Syer Pekerja: 2% daripada gaji bulanan

Kadar ini terpakai kepada semua pekerja bukan warganegara yang mempunyai pas kerja sah kecuali kategori pekerja domestik seperti pembantu rumah, tukang masak, tukang kebun, pengasuh, pemandu dan seumpamanya yang dikecualikan daripada caruman mandatori ini.

Pekerja bukan warganegara sedia ada yang merupakan Pemastautin Tetap atau telah mendaftar sebelum 1 Ogos 1998 akan kekal dengan kadar caruman sedia ada (iaitu 13% atau 12% untuk majikan dan 11% untuk pekerja).

Namun, bagi pekerja yang mendaftar selepas tarikh tersebut, kadar caruman yang terpakai adalah 2% untuk kedua-dua pihak.

Jenis pas kerja yang layak

Kewajipan mencarum dikenakan kepada semua pekerja bukan warganegara yang diambil bekerja bermula Oktober 2025 dan mempunyai salah satu pas berikut:

  • Pas lawatan kerja sementara (kecuali pembantu rumah asing)
  • Pas penggajian
  • Pas lawatan (Ikhtisas)
  • Pas pelajar
  • Pas residen
  • Pas lawatan sosial jangka panjang

Bagi kategori tertentu seperti pemegang pas lawatan (Ikhtisas), pas pelajar, pas residen dan pas lawatan sosial jangka panjang, kebenaran bekerja daripada Jabatan Imigresen Malaysia perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum caruman boleh dibuat.

Manfaat kepada pekerja bukan warganegara

Dengan pelaksanaan caruman mandatori ini, pekerja bukan warganegara yang mencarum akan mendapat akses kepada pelbagai kemudahan KWSP sama seperti pencarum tempatan.

Ianya tertakluk kepada terma dan syarat. Antara kemudahan tersebut termasuklah:

  • Pengeluaran sebahagian (perumahan, pendidikan, kesihatan, akaun fleksibel dan lain-lain)
  • Pengeluaran penuh (meninggalkan negara, umur 55 & 60 tahun, hilang upaya, kematian)
  • Caruman sukarela dan pilihan Simpanan Shariah

Dividen tahunan KWSP

Kemudahan pindahan simpanan antara akaun sendiri

Bagi pengeluaran sebahagian pada umur 55 dan 60 tahun, pekerja hanya boleh membuat pengeluaran mulai April 2026.

Proses pendaftaran dan tanggungjawab majikan:

  • Majikan yang menggaji pekerja bukan warganegara perlu mengambil langkah berikut:
  • Mendaftar sebagai majikan dengan KWSP (jika belum berdaftar).
  • Mendaftarkan pekerja bukan warganegara sebagai ahli KWSP.
  • Membayar caruman bulanan mengikut kadar yang ditetapkan.
  • Menyenggara dan mengemas kini rekod pekerja.

Bagi majikan yang sudah menggaji pekerja tempatan, mereka boleh menggunakan nombor majikan sedia ada tanpa perlu membuat pendaftaran baharu.

Pendaftaran pekerja yang layak akan dilakukan secara automatik oleh KWSP bermula Oktober 2025. Majikan hanya perlu mengesahkan maklumat pendaftaran pekerja melalui sistem i-Akaun (Majikan).

BACA : Awas, Peti Sejuk Boleh Jadi Punca Penyakit Jika Abaikan 6 Perkara Ini

Saluran pendaftaran

Majikan boleh mendaftar melalui dua kaedah utama:

  • Secara dalam talian: Melalui laman rasmi KWSP bagi syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
  • Secara fizikal: Di mana-mana cawangan KWSP berhampiran.

Tarikh kuat kuasa

Caruman mandatori ini mula dikuat kuasa bermula gaji Oktober 2025 dan bayaran pertama perlu dijelaskan selewat-lewatnya pada 15 November 2025.

Oleh itu, pelaksanaan caruman mandatori KWSP untuk pekerja bukan warganegara Malaysia bermula Oktober 2025 menandakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara.

Ia bukan sahaja memastikan golongan pekerja asing turut mempunyai simpanan masa depan yang terjamin malah memupuk kebertanggungjawaban majikan dalam menyediakan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan tersusun.

Dengan kadar caruman yang rendah serta pendaftaran automatik, proses ini direka agar mudah dan praktikal untuk semua pihak.

Majikan disaran membuat persediaan awal manakala pekerja pula digalakkan memahami manfaat yang boleh dinikmati daripada simpanan KWSP ini.

Langkah kecil ini bakal memberi impak besar kepada kestabilan kewangan jangka panjang. Ianya bukan hanya untuk individu tetapi juga untuk ekonomi negara secara keseluruhan.

Sumber : kwsp.gov