Catatan marah, kecewa Zara Qairina tidak sokong wujud penolakan terus terhadap ibunya - Pakar psikiatri

Family & Parenting
26 Jun 2026 • 11:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Catatan marah, kecewa Zara Qairina tidak sokong wujud penolakan terus terhadap ibunya - Pakar psikiatri
Dr Haw Huo (kiri) ketika hadir untuk memberi keterangan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir disifatkan sebagai individu yang menjadi tempat bergantung utama dari sudut emosi, selain memberikan ketenangan, rasa selamat serta membantu remaja itu menghadapi masalah hubungan interpersonal.

Pandangan itu dikemukakan Pakar Psikiatri, Dr Wong Haw Huo, berdasarkan analisis beliau terhadap bahan yang disediakan kepadanya dari perspektif psikiatri.

"Rakaman audio antara si mati dengan ibunya juga mempunyai kepentingan klinikal.

"Rakaman itu menunjukkan komunikasi yang kerap, kecenderungan si mati mendapatkan kepastian dan sokongan, unsur humor, kasih sayang, penglibatan dalam urusan harian serta interaksi yang berlaku secara spontan antara ibu dan anak.

"Si mati kerap mendapatkan kepastian, bimbingan, nasihat praktikal dan sokongan emosi daripada ibunya berkaitan aktiviti harian, hubungan dengan rakan, kehidupan di sekolah, aspek keselamatan, keperluan persekolahan, kewangan dan pelbagai isu hubungan interpersonal.

"Dari perspektif psikiatri, ibu Zara Qairina dilihat berperanan sebagai sumber utama yang memberikan kestabilan emosi, ketenangan, membantu memproses masalah hubungan interpersonal serta mewujudkan rasa selamat dari sudut psikologi kepada remaja tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membaca keterangan saksinya dalam inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, pada Jumaat.

Katanya, walaupun terdapat catatan luahan kemarahan atau kekecewaan terhadap ibunya, bahan lain seperti rakaman audio, gambar dan maklumat berkaitan tidak menyokong wujudnya penolakan berterusan, kerenggangan atau keruntuhan hubungan ibu dan anak.

"Hubungan antara si mati dengan ibunya dilihat kekal aktif dari segi emosi, mempunyai kepentingan psikologi yang besar dan berterusan sepanjang tempoh yang berkaitan.

"Gaya keibubapaan ibunya dilihat bersifat penyayang, sentiasa mengambil berat, melindungi serta memberi bimbingan.

"Respons yang diberikan juga banyak menekankan nasihat praktikal, aspek keselamatan, kawalan tingkah laku, ketenangan diri, pendekatan berasaskan agama atau kepercayaan serta sikap tabah menghadapi cabaran.

"Gaya keibubapaan seperti itu berpotensi menyediakan struktur, kestabilan dan bimbingan. Namun, pada masa yang sama, ia mungkin kurang menggalakkan penerokaan emosi yang lebih mendalam atau pengesahan terhadap perasaan, khususnya apabila tekanan emosi diluahkan secara tidak langsung atau dengan cara yang lebih kuat," katanya.

Bagaimanapun, Dr Haw Huo berkata, bahan yang tersedia tidak menyokong dakwaan bahawa ibu Zara Qairina mengabaikan keperluan emosinya, bersikap tidak peduli, menolak remaja itu atau gagal mewujudkan ikatan sebagai seorang ibu.

"Hubungan si mati dengan bapanya pula dilihat lebih terhad dan tidak konsisten sepanjang tempoh yang berkaitan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved