Catcha Digital runding semula perjanjian pengambilalihan DS Services bernilai RM22.95 juta disebabkan perubahan pasaran

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2025 • 4:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Catcha Digital runding semula perjanjian pengambilalihan DS Services bernilai RM22.95 juta disebabkan perubahan pasaran

image is not available

26/08/2025 - 16:18

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Catcha Digital Berhad kembali berunding semula bagi pengambilalihan 51% pegangan dalam syarikat perunding pemasaran digital, DS Services Sdn Bhd bernilai RM22.95 juta, selepas memuktamadkan perjanjian tersebut pada bulan Mac lalu.

Kumpulan itu sedang merundingkan semula terma-terma perjanjian tersebut, namun tidak memperincikan terma mana yang terlibat.

Keputusan itu dibuat susulan perubahan dalam keadaan ekonomi, pasaran dan industri yang memberi kesan kepada DS Services. Oleh itu, pengambilalihan tersebut tidak akan dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 18 September ini.

Catcha Digital berkata, pihaknya akan mengemas kini maklumat kepada pemegang saham sebaik sahaja terma baharu dimuktamadkan bersama vendor DS Services.

“Lembaga pengarah akan membuat pengumuman yang sewajarnya mengenai status cadangan pengambilalihan DS Services pada masa yang sesuai, antaranya apabila terma-terma baharu bagi cadangan pengambilalihan DS Services dengan vendor DS Services (Kuhan Kumar A/L Palaniappan dan Sarojah A/P Thandan) dimuktamadkan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Catcha Digital menjelaskan, perjanjian pengambilalihan DS Services berkaitan dengan cadangan korporat lain yang sedang dijalankan oleh kumpulan tersebut.

DS Services beroperasi di Malaysia dan Singapura, dengan fokus dalam pemasaran berprestasi menggunakan automasi, analisis data, dan perisian tersuai. Pelanggannya merangkumi perniagaan dalam sektor hartanah, automotif dan pendidikan.

Pada Mac lalu, Catcha Digital mengumumkan telah memuktamadkan perjanjian bernilai RM22.95 juta untuk mengambil alih DS Services, selepas menandatangani surat hasrat pada tahun 2023.

Pembayaran pengambilalihan akan dibuat dalam tiga ansuran dalam tempoh 24 bulan, bergantung kepada pencapaian keuntungan bersih sebanyak RM4.5 juta oleh DS Services dan anak-anak syarikatnya bagi setiap tahun dalam dua tahun selepas tarikh penyempurnaan perjanjian.

Anak syarikat Catcha, iMedia Asia, bersama para vendor Kuhan dan Sarojah, telah menandatangani perjanjian penjualan saham dan pemegang saham bagi menetapkan hak dan tanggungjawab masing-masing.

Mereka mempunyai tempoh sehingga 14 November 2025 untuk memenuhi syarat-syarat perjanjian tersebut.

DS Services merupakan satu daripada syarikat yang telah diambil alih oleh Catcha Digital dalam tempoh sembilan bulan yang lalu.

Kumpulan tersebut telah mengumumkan tujuh pengambilalihan bernilai lebih RM130 juta, termasuk:

  • Framemotion Studio (60% untuk RM37.32 juta)
  • Theta Service Partner (92.5% untuk RM35 juta)
  • Drive 2 Digital (60% untuk RM16.2 juta)
  • One International Exhibition (60% untuk RM11.38 juta)

Catcha Digital juga merancang untuk melaksanakan terbitan hak satu-untuk-empat bagi mengumpul sehingga RM25.23 juta untuk membiayai sebahagian daripada pengambilalihan tersebut.

Harga terbitan saham hak akan ditetapkan dengan diskaun sehingga 20%, dan harga akhir dijangka diumumkan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

Dana itu akan digunakan bagi menampung perbelanjaan selama 12 hingga 18 bulan, dengan sebahagian pendapatan masa depan dijangka disumbang oleh perniagaan-perniagaan baharu tersebut.

Sebagai langkah sokongan sekiranya terbitan hak tidak berjalan seperti dirancang, syarikat juga merancang untuk melaksanakan penempatan persendirian bagi mengumpul RM10.09 juta.- DagangNews.com

standard