CBH Engineering sasar kontrak baharu RM600 juta, tender pusat data bernilai RM1 bilion jadi pemangkin prospek kumpulan - RHB Research

Business & FinanceStartup
29 May 2026 • 12:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CBH Engineering sasar kontrak baharu RM600 juta, tender pusat data bernilai RM1 bilion jadi pemangkin prospek kumpulan - RHB Research Image from: CBH Engineering sasar kontrak baharu RM600 juta, tender pusat data bernilai RM1 bilion jadi pemangkin prospek kumpulan - RHB Research hamden29/05/2026 - 12:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Mei - CBH Engineering Holding Berhad mengekalkan sasaran penambahan kontrak baharu sebanyak RM600 juta bagi tahun kewangan 2026 dengan momentum penganugerahan projek dijangka lebih rancak pada separuh kedua tahun ini, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek kumpulan dijangka terus disokong oleh buku tender semasa bernilai RM1 bilion yang mana kira-kira 70% daripadanya melibatkan projek berkaitan pusat data.

 

Difahamkan CBH kini sedang membida antara empat hingga lima tender utama dengan setiap satu dianggarkan bernilai antara RM140 juta hingga RM180 juta.

 

Menurutnya, kesemua tender berkenaan dijangka mula ditawarkan pada separuh kedua 2026 (2H26), sekali gus berpotensi memperkukuh lagi kedudukan buku pesanan kumpulan.

 

“Prospek kumpulan kekal cerah dipacu pembangunan pusat data yang dijangka berkembang secara mampan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

“Momentum itu didorong peluasan kapasiti pusat data secara berfasa selain pelaburan berterusan syarikat hyperscaler global di Malaysia,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

RHB Research berkata, CBH berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat pelaburan infrastruktur tenaga dan pusat data susulan rekod prestasi kukuh kumpulan dalam melaksanakan projek hyperscaler berskala besar.

 

Selain itu katanya, profil margin keuntungan CBH yang melebihi purata industri turut menjadi kelebihan kompetitif utama kumpulan.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan “BELI” terhadap saham CBH dengan harga sasaran (TP) RM0.91 sesaham berdasarkan penilaian PER FY27 sebanyak 18 kali.

 

Bagaimanapun, katanya, antara risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk kelewatan penganugerahan kontrak baharu, risiko pelaksanaan projek serta peningkatan kos projek yang boleh memberi kesan kepada margin keuntungan kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard