CBH Engineering peroleh kontrak RM27.7 juta projek BESS di Pahang

LocalBusiness & Finance
28 May 2026 • 5:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CBH Engineering peroleh kontrak RM27.7 juta projek BESS di Pahang Image from: CBH Engineering peroleh kontrak RM27.7 juta projek BESS di Pahang liza28/05/2026 - 17:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Mei – CBH Engineering Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh CBH Consolidated Holdings Berhad (CBHB) memeterai satu kontrak kerja bernilai RM27.7 juta bagi pembangunan infrastruktur sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di Pahang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak tersebut dimeterai pada 28 Mei 2026 bersama sebuah syarikat yang tidak didedahkan identitinya atas sebab perjanjian kerahsiaan.

 

“Projek berkenaan melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) secara sepenuhnya.

 

“Selain itu, CBH Engineering turut bertanggungjawab membangunkan kemudahan sambungan sistem termasuk BESS interconnection facility (BESSO-IF), BESS interconnector (BESSO-IC) serta kemudahan sambungan ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB-IF),” katanya dalam makluman itu.

 

Keseluruhan projek ini merupakan sebahagian daripada pembangunan sistem BESS berkapasiti 100MW/400MWh yang akan dibangunkan di Pahang.

 

Syarikat itu berkata skop kerja turut melibatkan pemasangan kabel serta semua kerja berkaitan di tapak bagi memastikan projek dapat disiapkan dan beroperasi sepenuhnya mengikut perancangan.

 

Menurut CBHB, kontrak ini dijadualkan bermula pada 8 April 2026 dan disiapkan pada 7 April 2027, dengan tempoh pelaksanaan selama kira-kira satu tahun.

 

Kumpulan itu menjangkakan kontrak berkenaan akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham serta aset bersih syarikat sepanjang tempoh pelaksanaannya.

 

Kontrak ini tidak memberi kesan kepada struktur modal atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

 

Sementara itu, lembaga pengarah menyifatkan penerimaan kontrak tersebut adalah selaras dengan operasi perniagaan biasa kumpulan serta berada dalam kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article