CBH Engineering sasar margin bersih cecah 15%, TA Securities naikkan harga sasaran kepada 89 sen

Business & Finance
20 Jul 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CBH Engineering sasar margin bersih cecah 15%, TA Securities naikkan harga sasaran kepada 89 sen Image from: CBH Engineering sasar margin bersih cecah 15%, TA Securities naikkan harga sasaran kepada 89 sen amree20/07/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 JulaiCBH Engineering Holding Berhad terus mengorak langkah sebagai antara pemain utama pembinaan infrastruktur apabila menyasarkan margin keuntungan bersih sehingga 15%.

 

Berdasarkan kepada perkembangan positif tersebut, TA Securities menaikkan harga sasaran (TP) saham syarikat itu kepada 89 sen berbanding 80 sen, disokong prospek pertumbuhan hasil semakin kukuh.

 

Firma itu berkata, kumpulan tersebut berada pada landasan tepat untuk meraih prestasi terbaik dalam rekod sejarahnya bagi tahun kewangan 2026 (FY26), susulan peningkatan kadar pelaksanaan projek.

 

"Justeru kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham CBH Engneering berasaskan penilaian lebih tinggi berikutan margin keuntungan dan pulangan ekuiti yang baik berbanding pesaing," tambahnya.

 

TA Securities berkata, pihak pengurusan menjangka RM600 juta daripada buku tempahan akan diiktiraf sebagai hasil pada FY26, dipacu pengukuhan pendapatan bermula suku kedua (2Q) tahun kewangan itu.

 

Walaupun syarikat hanya memperoleh kontrak baharu bernilai RM57.4 juta setakat tahun kewangan semasa, momentum perolehan projek dijangka meningkat ketara pada separuh kedua (2H) tahun 2026.

 

CBH Engineering_DagangNews2026

 

Unjuran itu disokong oleh buku tender kukuh bernilai RM1.3 bilion, dengan lebih 70% terdiri projek berkaitan pusat data (DC), selain selari corak sejarah CBH Engineering pada 2H tahun kewangannya.

 

"Bersandarkan kadar penukaran tender sebanyak 40%, buku tender semasa berpotensi menjana kontrak baharu sekitar RM520 juta, dan meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan," ujar TA Securities.

 

Dari sudut keuntungan, peningkatan kos pembinaan masih boleh diurus dan dijangka tidak menjejaskan keuntungan projek, membolehkannya mengekalkan sasaran margin bersih 10% hingga mencecah 15%.

 

Katanya, sasaran CBH Engineering itu disokong oleh harga bahan binaan yang kembali stabil, gangguan rantaian bekalan semakin berkurangan, dan disiplin pengurusan perolehan, serta kecekapan operasi.

 

Walaupun harga sahamnya meningkat 39% sejak awal tahun, TA Securities berpandangan saham itu masih ada ruang untuk dinilai lebih tinggi kerana diniagakan lebih rendah berbanding pesaing terdekatnya.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan, namun menggemari kumpulan ini sebagai antara saham pilihan sektor pembinaan berikutan kedudukannya yang kukuh," tambah firma itu.

 

CBH Engineering memiliki keupayaan mekanikal dan elektrikal (M&E) bersepadu dan prospek pertumbuhan yang terus disokong oleh pelaburan berterusan dalam infrastruktur digital. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved