CCPSS, SPRM teruskan kerjasama tingkatkan kesedaran awam perangi rasuah

LocalPolitics
20 Dec 2022 • 5:54 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang akan meneruskan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha meningkatkan kesedaran awam bagi memerangi jenayah rasuah.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah berkata CCPSS dan SPRM Pulau Pinang, dengan kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri, akan menganjurkan program kesedaran ini di sekolah-sekolah pada tahun hadapan.

“Buat masa ini, pihak kami menganjurkan program kesedaran seperti ini dengan penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tapi ia juga sangat sesuai diadakan di sekolah-sekolah terutamanya di peringkat sekolah menengah.

Pada pendapat saya adalah lebih baik jika mesej-mesej anti-jenayah rasuah ini disebatikan dalam jiwa anak-anak muda sebelum mereka melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi dan memasuki bidang pekerjaan,” katanya kepada wartawan selepas Sesi Taklimat Umum Kesedaran Jenayah Rasuah di sini hari ini.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata ia dihadiri oleh lebih kurang 120 peserta daripada lebih 30 NGO.

Katanya program itu dilaksanakan bagi mewujudkan kesedaran yang lebih mendalam terhadap gejala jenayah rasuah dan kesannya terhadap masyarakat serta pendekatan terbaik demi membenteras jenayah ini dengan kerjasama semua pihak.

“Usaha bersepadu oleh pelbagai pihak adalah amat penting dalam memerangi jenayah rasuah dan ini juga merupakan satu platform untuk kita mendekatkan masyarakat dengan SPRM bagi membolehkan mereka berkongsi pendapat dan bertanya soalan,” katanya.

Turut hadir Penolong Penguasa daripada Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Pulau Pinang, Mazlan Haja Maideen.-Bernama