KOTA BHARU – Sebanyak 333 sekolah asrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) tahun ini sebagai langkah memperkukuh keselamatan dan kebajikan pelajar.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pemasangan tersebut merupakan fasa kedua selepas kementerian melengkapkan 200 sekolah asrama dengan kemudahan sama pada tahun lalu.
Menurut beliau, pelaksanaan pemasangan CCTV itu memerlukan penelitian dari sudut teknikal serta pematuhan terhadap aspek privasi sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.
"Bagi fasa pertama pada 2025, sebanyak 200 sekolah asrama KPM telah dilengkapi CCTV.
"Untuk 2026 pula, kita akan pasang di 333 lagi sekolah asrama KPM dan ketika ini pelaksanaannya berada di peringkat teknikal," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau merasmikan Program Jaulah Ramadan KPM Tahun 2026 Negeri Kelantan di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini.
Mohd Azam menjelaskan, pemasangan CCTV di sekolah tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya kerana perlu mematuhi peraturan serta mengambil kira hak privasi pelajar.
Ujarnya, KPM juga mendapatkan pandangan daripada beberapa agensi dan pihak berkaitan bagi memastikan pemasangan tersebut benar-benar berkesan serta mematuhi garis panduan ditetapkan.
"Kita ada akta berkaitan privasi yang perlu dipatuhi, jadi lokasi pemasangan CCTV perlu ditentukan dengan teliti supaya ia efektif.
"Kita juga mendapatkan pandangan daripada Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak antarabangsa seperti UNICEF yang berkaitan dengan hak kanak-kanak," katanya.
Menurut beliau, proses teknikal itu penting bagi memastikan setiap pemasangan CCTV di sekolah asrama dilaksanakan secara sistematik dan selamat.
"Kita bukan sekadar ada peruntukan kemudian terus beli dan pasang. Banyak aspek yang perlu diteliti.
"Bagaimanapun, bagi fasa kedua pada tahun ini, kita akan segerakan pelaksanaannya," katanya.

