JASIN - Seorang pengusaha kantin panik selepas bungkusan mengandungi wang hasil jualan sebanyak RM749 hilang sebelum rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengesan wang itu dilarikan seorang pelajar Tingkatan Dua dalam kejadian Selasa lalu.
Pengusaha kantin, Nur Liyana Abdul Khalid, 30, berkata, kejadian disedari pekerjanya kira-kira jam 9.30 malam di sebuah sekolah berasrama di sini selepas wang hasil jualan sesi petang antara jam 2 hingga 5 petang didapati hilang.
Menurutnya, semakan rakaman CCTV mendapati pelajar lelaki berkenaan yang memakai baju kurta kelabu berseluar hitam serta berkopiah memanjat kaunter sebelum mengambil wang tersebut bersebelahan peti duit.
“Pada awalnya pelajar itu memaklumkan hanya mengambil RM5, namun selepas ditanya beberapa kali, dia mengaku mengambil RM749 seperti dalam rakaman CCTV.
“Pekerja saya kemudian telah menyuruhnya mengambil wang itu di bilik asrama namun hanya RM718 dipulangkan, manakala RM31 lagi didakwa telah digunakan untuk membayar hutang kepada rakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambah Nur Liyana, susulan kejadian itu, pekerja yang bertugas pada malam kejadian telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Nur Liyana yang telah mengusahakan kantik sekolah berkenaan sejak 2023 berkata, kehilangan wang jualan pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, namun tidak mengambil apa-apa tindakan kerana kekurangan bukti.
Bagaimanapun, katanya, kejadian terbaharu itu mendorongnya mengambil tindakan tegas kerana berpandangan perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku di sekolah yang menitikberatkan pendidikan agama.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan rasa terkilan dengan pengurusan pihak sekolah dalam menangani isu berkenaan yang dikatakan tidak mengambill sebarang inisiatif menyelesaikan perkara itu dengan cara baik.
“Mereka tidak langsung berhubung dengan kami.
"Sekurangnya berbincang supaya kes ini diselesaikan dengan cara baik termasuk dengan panggil ibu bapa pelajar berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert mengesahkan menerima laporan berkenaan dan berkata, siasatan masih dijalankan.

