Pelajar tingkatan dua dirakam larikan wang kantin RM749

23 Sep 2026 • 8:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelajar tingkatan dua dirakam larikan wang kantin RM749

JASIN – Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama di daerah ini dirakam melarikan wang jualan kantin berjumlah RM749, semalam.

Pengusaha kantin, Nur Liyana Abdul Khalid, 30, berkata, kejadian itu disedari oleh pekerjanya yang mendapati wang tersebut hilang kira-kira pukul 9.30 malam sebelum memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Menurutnya, semakan rakaman mendapati seorang pelajar lelaki memakai baju kurta kelabu, berseluar hitam dan berkopiah dilihat memanjat kaunter sebelum mengambil wang yang diletakkan berhampiran peti duit.

“Wang itu adalah hasil jualan sesi petang antara pukul 2 hingga 5 petang. Pada awalnya pelajar itu memaklumkan hanya mengambil RM5, namun selepas ditanya beberapa kali dia mengaku mengambil RM749 seperti dalam rakaman CCTV.

“Pekerja saya kemudian menyuruhnya mengambil semula wang itu di bilik asrama, namun hanya RM718 dipulangkan manakala RM31 lagi didakwa telah digunakan untuk membayar hutang kepada rakannya,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Nur Liyana berkata, susulan kejadian itu, laporan polis telah dibuat untuk tindakan lanjut.

“Sebelum ini wang kantin pernah hilang beberapa kali sejak saya mula mengusahakan perniagaan pada 2023, namun tidak mengambil tindakan kerana kekurangan bukti.

“Bagaimanapun, kejadian terbaharu ini menyebabkan saya mengambil tindakan tegas kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku di sekolah yang menitikberatkan pendidikan agama,” katanya.

Tambahnya, dia berharap pihak sekolah dapat memanggil ibu bapa pelajar berkenaan untuk membincangkan perlakuan remaja tersebut supaya kes berkenaan dapat diselesaikan dengan cara baik.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

The post Pelajar tingkatan dua dirakam larikan wang kantin RM749 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved