
GEORGE TOWN – Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah wang milik sebuah restoran makanan Jepun bernilai RM19,361, tahun lalu.
Tertuduh, Ong Kah Ming, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Irwan Suainbon dan Hakim Juraidah Abbas.
Di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh didakwa melakukan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dengan melibatkan jumlah RM9,758 di Restoran Wako Sushi Omakase di Gat Lebuh Acheh di sini, antara bulan Februari dan Julai 2026.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Anuaral memohon jaminan sebanyak RM45,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Dalam mitigasi rayuannya, tertuduh memohon jaminan dikurangkan memandangkan dia tidak lagi bekerja dan menjaga ibunya yang kini menghidap kanser.
Hakim Juraidah Abbas kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh selain menetapkan syarat tambahan seperti yang dipohon Timbalan Pendakwa Raya.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh turut membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah bernilai RM9,603 di lokasi yang sama, kira-kira pukul 3 petang, 24 Julai 2026.
Bagi pertuduhan tersebut, Hakim Irwan menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 beserta seorang penjamin tempatan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam. -KOSMO! ONLINE
The post Cef tak mengaku pecah amanah duit restoran Jepun RM19,361 appeared first on Kosmo Online.





