
SHAH ALAM, 17 JUN: Seramai 2,190 individu menjalani pemeriksaan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring anjuran Kerajaan Negeri sejak Februari lalu hingga semalam.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata program berkenaan selesai diadakan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan diteruskan secara berperingkat ke kawasan lain sepanjang tahun ini.
“Program ini ditawarkan kepada mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas dan majoriti peserta yang hadir untuk menjalani saringan dalam usia 31 hingga 45 tahun,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, individu yang merekodkan keputusan saringan tidak normal atau mempunyai tanda awal penyakit tertentu akan dirujuk ke pusat kesihatan bersesuaian untuk tindakan susulan.
Jamaliah menjelaskan individu terbabit perlu menghubungi hospital panel Selcare atau klinik panel Selcare berdekatan terlebih dahulu bagi menyemak slot janji temu.
“Sekiranya terdapat kekosongan, peserta boleh membuat tempahan temu janji secara dalam talian melalui aplikasi atau portal Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” katanya.
Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma yang diperkenal sejak 2022 untuk membantu orang ramai mengesan penyakit lebih awal.
Saringan yang boleh dibuat termasuk pemeriksaan fizikal, darah, air kencing, barah, mata dan gigi.
The post Cegah awal penyakit, saringan percuma tarik ribuan warga Selangor appeared first on Selangorkini.


