CelcomDigi bayar RM382 juta hak penggunaan frekuensi 2600MHz dan 900MHz hingga 5 tahun

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CelcomDigi bayar RM382 juta hak penggunaan frekuensi 2600MHz dan 900MHz hingga 5 tahun Image from: CelcomDigi bayar RM382 juta hak penggunaan frekuensi 2600MHz dan 900MHz hingga 5 tahun amree15/10/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – CelcomDigi Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, CelcomDigi Telecommunications Sdn Bhd (CDTel) membayar RM381.75 juta bagi memperoleh penetapan hak penggunaan spektrum dalam jalur frekuensi 2600MHz dan 900MHz.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, pembayaran penuh itu dilaksanakan pada 15 Oktober 2026 selepas subsidiari tersebut menerima dan bersetuju menerima Notis Penganugerahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

Ujar kumpulan perkhidmatan telekomunikasi berkenaan, penganugerahan tersebut melibatkan spektrum 2x20MHz dalam jalur 2600MHz bagi tempoh empat tahun, manakala 2x5MHz dalam jalur 900MHz pula ditetapkan agensi itu selama lima tahun.

 

"Bagaimanapun, penerimaan notis ini belum bermakna penetapan spektrum itu sudah dikeluarkan secara rasmi oleh MCMC kepada CDTel, kerana ia masih lagi tertakluk kepada pemenuhan syarat ditetapkan dan proses kawal selia berkaitan," jelas CelcomDigi.

 

Selain itu, kumpulan tersebut menambah, pembayaran untuk penggunaan hak frekuensi berkenaan akan dibiayai menerusi gabungan dana yang dijana secara dalaman dan kemudahan pembiayaan sedia ada.

 

Ujar syarikat itu, pemerolehan spektrum tersebut namun dijangka mengukuhkan portfolio spektrum kumpulan serta menyokong keperluan rangkaian bagi penyediaan perkhidmatan mudah alih dan kesalinghubungan kepada pelanggan.

 

CelcomDigi_DagangNews2026

 

Antara manfaat yang disasarkan kata CelcomDigi, termasuk peningkatan kapasiti rangkaian dan mutu perkhidmatan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, selain mempertingkat prestasi, liputan dan kebolehpercayaan rangkaian.

 

"Penetapan jalur 2600MHz itu juga membolehkan kumpulan ini dapat mempunyai pegangan spektrum secara berterusan bagi 40MHz dalam jalur berkenaan, sekali gus berupaya menyokong kestabilan penggunaan spektrum yang lebih cekap," katanya.

 

Sementara itu, tambahan spektrum 900MHz pula jelas kumpulan berkenaan, dijangka mengukuhkan lagi kedudukan operator telekomunikasi itu dalam jalur tersebut bagi menyokong liputan rangkaian yang lebih luas dan mendalam.

 

Dari sudut kewangan, CelcomDigi tidak menjangkakan penerimaan notis dan cadangan penetapan spektrum itu memberi sebarang kesan material terhadap modal saham terbitan serta pegangan saham pemegang saham utama kumpulan. 

 

Pembayaran harga spektrum dan fi tahunan berkaitan namun ujar kumpulan tersebut akan memberi kesan kepada pendapatan, aset bersih dan aliran tunai sepanjang tempoh penetapan masing-masing.

 

"Lembaga Pengarah berpandangan penerimaan notis dan cadangan penetapan spektrum itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat serta pemegang sahamnya. Syarikat akan membuat pengumuman lanjut apabila penetapan spektrum dikeluarkan oleh MCMC kepada CDTel," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved