CelcomDigi, firma Korea Selatan VIRNECT bekerjasama bangunkan rumusan realiti lanjutan industri di Malaysia

8 Sep 2023 • 3:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CelcomDigi, firma Korea Selatan VIRNECT bekerjasama bangunkan rumusan realiti lanjutan industri di Malaysia

diyana

08/09/2023 - 15:11

KUALA LUMPUR 8 Sept - CelcomDigi Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat teknologi Korea Selatan, VIRNECT bagi pembangunan dan pengkomersialan penyelesaian realiti lanjutan (XR) perindustrian di Malaysia.

Kerjasama itu bermatlamat untuk meneroka pembangunan pembelajaran dan pendidikan berasaskan pengalaman yang menggunakan metaverse untuk beberapa universiti di Malaysia.

Kedua-dua syarikat terbabit akan bekerjasama untuk mencipta program pembelajaran maya perindustrian menerusi rumusan berasaskan metaverse dan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata syarikat itu komited untuk menawarkan inovasi terbaik yang akan memberikan manfaat besar kepada pembangunan industri Malaysia dengan menggunakan nilai sebenar teknologi 5G.

“Kerjasama strategik ini menegaskan kedudukan kami dalam memanfaatkan teknologi metaverse, 5G dan AI yang berpotensi mewujudkan rumusan digital yang inovatif dan produktif bagi perusahaan Malaysia, mendorong ekosistem digital Malaysia kepada era baharu kepimpinan digital,” katanya pada majlis pemeteraian itu di Seoul hari ini.

MoU itu ditandatangani antara Idham dan Ketua Pegawai Eksekutif VIRNECT, Tim Ha, yang disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil di luar Persidangan GSMAMobile 360 APAC.

Mengulas tentang kerjasama itu, Fahmi berkata kerjasama berkenaan akan mendorong penerimagunaan 5G di Malaysia dalam penggunaan metaverse, kesalinghubungan Internet dalam kalangan pengguna dan peserta industri serta institusi pendidikan.

“Sebagai contoh, penggunaan teknologi ini akan mengubah kaedah pembelajaran di universiti kepada pembelajaran berasaskan pengalaman, terutamanya dalam bidang kesihatan, kejuruteraan minyak dan gas, robotik dan keselamatan siber,” katanya kepada Bernama.

CelcomDigi menerusi Pusat Inovasinya berhasrat untuk membina ekosistem inovasi yang memberikan inspirasi di negara ini dengan bekerjasama dengan VIRNECT dan XRA, rakan kongsi tempatan dan pasukan sokongan VIRNECT di Malaysia.

Langkah ini bermatlamat untuk memberikan inisiatif strategik dengan memanfaatkan keupayaan penyelesaian teknologi metaverse dan berasaskan AI termaju di institusi pengajian tinggi di Malaysia. - DagangNews.com