
SEOUL: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mahu pihak Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bekerjasama dengan Naver Corporation, syarikat teknologi global yang berpusat di Korea Selatan, supaya langkah itu seterusnya dapat membuka peluang jalinan dengan syarikat tempatan.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke Korea Selatan mulai 5 hingga 8 Sept ini berkata kerjasama itu akan merangkumi sektor pengkomputeran awan serta perkhidmatan awan di Malaysia.
“Selepas ditunjukkan beberapa kawasan dan teknologi yang dibangunkan oleh Naver, kita mengadakan sedikit perbincangan antara lain berkaitan pengkomputeran awan dan perkhidmatan awan yang ada.
“Saya ingin meminta pihak MDEC untuk berbincang dengan Naver, mencari jalan untuk menjemput mereka datang ke Malaysia dan melihat peluang yang ada dari segi kolaborasi dengan agensi di Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata setakat ini, pihak Telekom Malaysia Bhd (TM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan kerjasama dengan Naver dalam beberapa perkara.
“Saya juga ingin meminta pihak MDEC mengadakan pertemuan dan perbincangan untuk melihat perkara yang boleh diusahakan bersama,” katanya.
Terdahulu, Fahmi meluangkan masa lebih sejam melawat ibu pejabat baharu Naver yang diberi nama 1784 di Seongnam, dekat sini.
Beliau turut mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Naver Cloud, Kim Yuwon serta barisan pengurusan Naver Cloud.
Ia turut dihadiri oleh CEO Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris serta Ketua Pegawai Perundangan MCMC, Noor Syahira Surya Noordin.
Naver adalah platform teknologi global yang membolehkan akses luas kepada teknologi canggih untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pencipta dan rakan kongsi.
Bangunan pejabat 1784 yang baharu itu direka bentuk berasaskan sistem mampan dan standard untuk memastikan persekitaran kerja selamat dengan infrastruktur mesra alam. -Bernama




