
ALOR SETAR – Polis percaya tindakan seorang lelaki menikam kenalan wanitanya hingga cedera parah di bahagian leher dalam kejadian di Jalan Titi Gajah dekat sini malam tadi dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu atau cinta tidak berbalas.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun dan mangsa berusia 35 tahun itu saling mengenali sejak lebih setahun lalu kerana kedua-duanya bekerja dalam bidang hartanah.
“Hubungan mereka dipercayai kenalan yang mana mereka bekerja dalam bidang sealiran iaitu sebagai ejen hartanah, namun syarikat yang berlainan.
“Setakat ini, kita percaya motif kejadian boleh jadi cemburu atau perasaan yang tidak berbalas. Namun siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dilakukan,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini.
Mangsa Cedera Parah Di Leher
Memetik laporan Kosmo!, dalam kejadian kira-kira pukul 9.19 malam itu, mangsa yang juga ibu tunggal kepada dua anak dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas ditikam hingga tembus di bahagian kiri ke kanan leher.
Menurut polis, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di tempat duduk pemandu manakala suspek berada di bahagian penumpang hadapan kereta jenis Mazda berkenaan.
“Kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai duduk di tempat pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.
“Mangsa sempat membunyikan hon beberapa kali bagi menarik perhatian orang awam sebelum suspek melarikan diri. Tindakan pantas orang awam dan kakitangan sebuah klinik berhampiran yang memberi bantuan awal dipercayai berjaya menyelamatkan nyawa mangsa,” jelasnya.
Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital.
Polis Masih Kesan Senjata Digunakan
Dalam pada itu, polis turut giat mengesan senjata yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Kita masih mengesan senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu yang mana ia boleh jadi pisau ‘rambo’, alat pemecah ais atau pemutar skru,” ujarnya.
Susulan kejadian itu, suspek yang merupakan seorang duda berjaya diberkas kira-kira empat jam selepas melarikan diri.
“Suspek berjaya ditahan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) kira-kira pukul 1.50 pagi tadi ketika bersembunyi di kawasan rumah ibadat (masjid) di Taman Uda.
“Dia dipercayai melarikan diri dengan meredah kawasan bendang untuk ke lokasi tersebut yang sejauh kira-kira 6.2 kilometer,” katanya.
Suspek Ada Rekod Lampau
Tambah beliau, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes menikam seorang wanita yang didakwa teman wanitanya sebelum ini.
Bagaimanapun, kes tersebut tidak diteruskan selepas mangsa terdahulu tidak berminat untuk meneruskan pertuduhan terhadap suspek.
Menurut Adzli, suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata. – The Malaysian Update
The post Cemburu Atau Cinta Tidak Berbalas Dipercayai Motif Wanita Ditikam Di Alor Setar appeared first on The Malaysian Update.
