Cemburu & Cinta Bertepuk Sebelah Tangan Dipercayai Jadi Punca Lelaki Tikam Wanita Dalam Kereta

18 May 2026 • 5:55 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Cemburu & Cinta Bertepuk Sebelah Tangan Dipercayai Jadi Punca Lelaki Tikam Wanita Dalam Kereta

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak tengah malam tadi, negara dikejutkan dengan insiden seorang wanita cedera akibat ditikam oleh seorang lelaki dalam sebuah kereta jenis Mazda 3 di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, Kedah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, mangsa yang berusia 35 tahun dipercayai ditikam oleh lelaki terbabit dalam kereta berkenaan sebelum suspek bertindak melarikan diri dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.19 malam.

Namun, lelaki yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai ejen hartanah itu berjaya ditahan kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian di kawasan Masjid Taman Uda pada jam 1.50 pagi tadi.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

Tikaman Tembus Kiri & Kanan Leher, Suspek Dipercayai Guna Senjata Tajam Seperti Pisau Rambo & Alat Pemecah Ais

Terbaharu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah mendedahkan suspek yang merupakan seorang duda dipercayai menggunakan senjata tajam untuk menikam leher mangsa sehingga tembus dari kiri ke kanan.

Jelas Adzli, senjata tajam tersebut sebagai contoh sama ada pisau rambo, alat pemecah ais atau pemutar skru.

“Berdasarkan kecederaan pada mangsa, kita percaya suspek menggunakan senjata tajam, contohnya sama ada seperti pisau ‘rambo’, alat pemecah ais atau mungkin juga pemutar skru,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Tambahnya, mangsa yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak itu mengalami luka tikaman yang menembusi bahagian kiri dan kanan leher.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah di sini,” ujarnya.

Faktor Cinta Tak Berbalas Dipercayai Jadi Motif Kejadian, Mangsa Bunyikan Hon Tarik Perhatian Orang Ramai

Memetik Utusan Malaysia, faktor hubungan cinta yang tidak berbalas sehingga menimbulkan rasa cemburu dipercayai menjadi motif kejadian.

Ini kerana kedua-dua mereka yang berkerja dalam bidang hartanah dipercayai saling mengenali antara satu sama lain sejak setahun lalu dan tiba di perkarangan restoran terbabit beberapa minit sebelum kejadian.

Jelas Adzli, kedua-dua individu terbabit tidak turun dari kereta sewaktu tiba di restoran dan berkemungkinan berlaku pertengkaran sebelum insiden berakhir dengan serangan terhadap mangsa.

Tambahnya lagi, tindakan wanita itu yang membunyikan hon kereta sehingga menarik perhatian orang ramai berjaya menyelamatkannya.

Ini menyebabkan mangsa kemudiannya dibantu oleh petugas sebuah klinik berhampiran yang memberikan rawatan awal setelah dia mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.

Polis Masih Mengesan Senjata Digunakan Suspek Ketika Kejadian

Terang Adzli lagi, pihaknya kini masih lagi mengesan senjata atau objek yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.

“Kita masih mengesan senjata atau objek yang digunakan suspek sehingga menembusi leher mangsa dari arah kiri ke kanan yang ketika itu berada di tempat duduk pemandu, sementara suspek di sebelahnya.

“Setakat ini, kita percaya motif kejadian akibat cemburu atau perasaan tidak berbalas iaitu cinta bertepuk sebelah tangan, namun siasatan lanjut akan dilakukan,” jelasnya.

Suspek Rupanya Pernah Ada Kes Serupa Beberapa Tahun Lalu

Jelas Adzli lagi, suspek pernah ditahan disebabkan kes sama beberapa tahun lalu.

Namun, si pengadu (wanita lain) yang merupakan teman wanita suspek tidak berhasrat untuk meneruskan kes hingga ia diklasifikasikan dengan dibebaskan terus (DNA).

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek negatif daripada pengambilan sebarang bahan terlarang. Suspek yang melarikan diri selepas kejadian berjaya diberkas dalam tempoh empat jam pada jarak lebih enam kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Suspek kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu kes yang kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.