CEO ECoS buat laporan polis terhadap portal berita

LocalPolitics
21 Apr 2025 • 4:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Sabah Publishing House Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid membuat laporan polis berhubung artikel berunsur fitnah yang disiarkan oleh sebuah portal berita kerana menerbitkan sebuah artiikel yang berunsur fitnah terhadapnya.

Artikel tersebut didakwa mengandungi pelbagai tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap Abdul Nasser secara peribadi dan profesional.

Antara tuduhan tersebut termasuk dakwaan bahawa beliau meluluskan projek Pengeluar Kuasa Bebas (IPP) Libaran milik besan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa mendapat kelulusan Kabinet Negeri Sabah.

Abdul Nasser menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan yang terkandung dalam artikel berkenaan.

Dalam kenyataan di sini, Ahad, beliau berkata, semua tindakan yang diambil Ketua Pegawai Eksekutif ECoS adalah berdasarkan undang-undang, peraturan, dasar dan prosedur rasmi yang ditetapkan kerajaan termasuk melaksanakan keputusan Majlis Tenaga Sabah seperti mana yang dimandatkan oleh Kabinet Negeri.

Katanya, penerbitan artikel itu dilihat mempunyai niat jahat untuk mencemarkan nama baiknya dan merosakkan reputasi ECoS sebagai badan pengawal selia yang berwibawa.

Selain itu, beliau berkata, artikel ini juga cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Sabah secara keseluruhannya.

“Tuduhan-tuduhan yang dikemukakan dalam artikel ini bukan sahaja bersifat fitnah malah berpotensi menjejaskan kepercayaan awam terhadap tadbir urus tenaga di negeri ini,” katanya, sambil menambah, beliau menganggap serius perkara ini memandangkan ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pelabur.

Laporan polis dibuat dengan beberapa tujuan penting. Pertama, untuk memohon siasatan terperinci terhadap penulis artikel, pengendali portal dan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu ini.

Kedua, bagi mendesak tindakan undang-undang di bawah Seksyen 500 (fitnah jenayah) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketiga, untuk mempertimbangkan tindakan sivil atas kerugian dan kerosakan reputasi yang dialami oleh Abdul Nasser dan ECoS.

Abdul Nasser berkata beliau menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya mengikut undang-undang dan menyatakan kesediaan penuh untuk memberikan kerjasama diperlukan dalam proses siasatan.

“Saya percaya kepada prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang dan yakin bahawa kebenaran akan terbukti demi memelihara maruah individu dan integriti institusi awam yang saya pimpin,” kata beliau.

Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat rasmi hanya melalui saluran-saluran yang sah bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Abdul Nasser dan ECoS menegaskan komitmennya untuk terus memastikan ketelusan dan integriti dalam semua urusan berkaitan tenaga di Sabah.