CEO Telegram, Pavel Durov Ditahan Di Perancis

TechnologyDigital
25 Aug 2024 • 7:47 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

CEO Telegram, Pavel Durov dilaporkan telah ditahan oleh pihak berkuasa Perancis awal pagi. Beliau ditahan di Lapangan Terbang La Bourget ketika dalam perjalanan dari Azerbaijian. Pihak berkuasa Perancis enggan mengesahkan penahanan beliau tetapi beberapa media Perancis mengatakan penahanan Durov dilakukan atas beberapa kesalahan yang dilakukan dalam aplikasi Telegram.

image is not available

Antara isu pihak berkuasa Perancis dengan Telegram ialah tiadanya sekatan ke atas kandungan dalam aplikasi. Dengan lebih 900 juta pengguna aktif bulanan, Telegram ialah antara aplikasi pemesejan paling popular dunia khususnya di negara bekas Kesatuan Soviet.

Walaupun Durov seorang warga Rusia, Telegram menjadikan Dubai sebagai pangkalan operasi selepas aplikasi diharamkan disebabkan keengganan mereka memberikan akses data kepada pemerintah Rusia. Ia menjadi aplikasi pilihan untuk penyebaran maklumat mengenai konflik Ukraine-Rusia oleh kedua-dua pihak.

Sebelum menubuhkan Telegram, beliau menubuhkan VKontakte (VK) yang merupakan platform media sosial popular di Rusia. Beliau kemudiannya meletakkan jawatan sebagai CEO VK juga kerana keengganan bekerjasama dengan penguasa Rusia untuk menyerahkan data serta memadam profil milik ketua pembangkang Alexei Navalny.