‘Cepatkan kes ini, jangan guna taktik lengah’ – Saravanan

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 2:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Cepatkan kes ini, jangan guna taktik lengah’ – Saravanan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan meminta kes rasuah melibatkannya diselesaikan segera tanpa berlarutan sehingga menjejaskan nama baik serta kedudukannya sebagai wakil rakyat.

Kata Ahli Parlimen Tapah itu, beliau bersedia memberikan kerjasama penuh sepanjang proses mahkamah dan berharap perbicaraan dapat dijalankan tanpa kelewatan yang tidak perlu.

“Saya bersedia untuk menghadapi proses mahkamah. Saya juga bersedia memberikan kerjasama. Cuma, percepatkan kes ini.

“Jangan buat kes ini macam kes-kes lain. Saya minta kalau betul-betul kerajaan ikhlas hendak tuduh saya, cepatkan kes ini. Jangan gunakan taktik tangguh untuk memburukkan nama saya,” katanya ketika sidang akhbar selepas selesai prosiding kes.

Terdahulu, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.1 juta empat tahun lalu namun dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM450,000.

Sementera itu, beliau mengakui terkejut dengan pertuduhan yang disifatkan sebagai satu tuduhan liar namun enggan mengulas lanjut kerana perkara itu akan dibicarakan di mahkamah.

“Saya anggap ini satu tuduhan liar terhadap saya. Jangan gunakan taktik macam ini untuk jatuhkan seorang ahli politik. Saya pun ada keluarga, ini bukan cara kalau hendak jatuhkan saya.

“Saya langsung tidak rasa malu dengan tuduhan ini. Hari ini saya tak boleh sebut tapi apabila kes dibicara di mahkamah, fakta akan keluar,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan mengesahkan ada berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Namun, beliau yang juga Timbalan Presiden MIC menegaskan komunikasi itu bukan bertujuan meminta campur tangan sebaliknya mahu perkara berkenaan diteliti dan disiasat secara telus. –UTUSAN

The post ‘Cepatkan kes ini, jangan guna taktik lengah’ – Saravanan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved