Pembelaan cabar pendakwaan Saravanan

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 2:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pembelaan cabar pendakwaan Saravanan

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan Datuk Seri M. Saravanan akan mencabar pertuduhan rasuah terhadap Ahli Parlimen Tapah itu selepas mendakwa menerima dua keterangan bersumpah (SD) yang antara kandungannya menyatakan individu yang dinamakan sebagai ‘orang tengah’ dalam kes itu dipaksa mengaitkan tertuduh. 

Peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, pihaknya mendakwa menerima dua SD yang didakwa mengandungi kenyataan seorang individu bagi kes berkaitan Saravanan.

Individu yang dimaksudkan ialah Allahyarham Syed Amirul Syed Ahmad yang mana namanya disebut dalam pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Tapah itu dan merupakan `orang tengah’ menyampaikan suapan dari seorang pengarah syarikat kepada Saravanan.

Katanya, SD berkenaan telah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menjelaskan, kandungan SD tersebut antara lain akan menjadi sebahagian daripada perkara yang diteliti pihak pembelaan dalam mencabar pertuduhan terhadap bekas Menteri Sumber Manusia itu.

“Mengikut pertuduhan, memang seorang bernama Syed Amirul telah dinamakan. (Namun) Kami difahamkan beliau telah meninggal dunia. 

“Saya percaya pihak-pihak pun telah melihat SD tersebut yang mana kami pun telah menerima dan telah pun dipanjangkan kepada pihak SPRM sendiri. 

“Menurut SD ini, penama Syed Amirul yang merupakan saksi utama SPRM menyatakan bahawa beliau terpaksa dan dipaksa untuk mengaitkan Datuk Seri (Saravanan),” katanya.

Susulan itu, pihaknya akan mencabar pertuduhan berkenaan dan mengemukakan keterangan ketika prosiding bagi perbicaraan kes yang akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah hampir RM1.1 juta, empat tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah didakwa menerima wang berjumlah RM1,097,000 daripada pengarah syarikat Vectica Resources Sdn. Bhd., Tan Teck Lim melalui seorang lelaki bernama Syed Amirul Syed Ahmad.

Wang tersebut adalah sebagai dorongan dan upah memberikan kelulusan terhadap permohonan bagi 1,000 kuota pekerja asing untuk syarikat TYKB Engineering Sdn. Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 16 Jun dan 7 Julai 2022 di beberapa lokasi termasuk sebuah bank di Taman Desa di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. –UTUSAN

The post Pembelaan cabar pendakwaan Saravanan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved