Ceramah Ustaz Wadi Annuar Di Masjid Sri Sendayan Akan Dijadualkan Semula, Kata Menteri Agama

LocalPolitics
8 Sep 2025 • 10:27 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Sebelum ini pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar pada 29 Ogos lalu telah memaklumkan ceramahnya yang akan diadakan pada 6 September di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, dibatalkan serta memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul.

Perkara itu kemudiannya mendapat perhatian ramai sehingga ada yang mendakwa terdapat campur tangan dari pihak lain sehingga ia dibatalkan. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kemudiannya tampil menafikan campur tangan berhubung perkara tersebut.

Kata beliau, pihaknya tidak terbabit dan tidak mempunyai maklumat berkaitan program ceramah agama Healing De’Masjid oleh pendakwah berkenaan.

Perkara itu dijelaskan beliau, selepas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohammad Hanifah Abu Baker mendakwa pembatalan itu suatu bentuk campur tangan yang melampau kerana secara tiba-tiba, lapor Berita Harian.

Ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan akan dijadualkan semula

Terbaharu ceramah Ustaz Wadi Annuar yang dibatalkan itu akan dijadualkan semula ke satu tarikh baru.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Mohd. Na’im Mokhtar di Facebook, beliau sudah menghubungi sendiri pendakwah berkenaan untuk mendapatkan pengesahan serta pencerahan berhubung perkara tersebut.

“Sejurus itu, saya telah menghubungi Pengerusi dan individu yang mewaqafkan Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Rashid Hussain. Alhamdulillah, Ustaz Wadi Annuar dengan berlapang dada menerima undangan dan akan memilih tarikh baru yang bersesuaian.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Wadi Annuar dan Tan Sri Rashid Hussain bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Sendayan atas kerjasama dan usaha memakmurkan masjid, baik melalui ceramah, pembangunan, pemeliharaan, mahupun aktiviti ibadah di dalamnya,” jelasnya.

Tanggungjawab semua umat Islam untuk mengimarahkan masjid

Kata beliau lagi, mengimarahkan masjid merupakan tanggungjawab semua umat Islam dan beliau yakin dengan semangat ukhwah serta kerjasama masjid akan menjadi pusat peradaban Islam yang memberdayakan umat dan mengangkat karamah insaniah.

“Barang siapa datang ke Masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah SWT akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Beliau turut berdoa semoga Allah SWT menerima setiap ikhtiar yang dilakukan dan menjadikan masjid serta suarau sebagai tempat yang penuh barakah dan rahmat-Nya.

Sebagai info Masjid Sri Sendayan ini telah diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan kumpulan RHM, Tan Sri Rashid Hussain dan ia mula dibina pada tahun 2015.

Source: