KULAI – Keadaan cerebral palsy (CP) yang dialami seorang pengundi muda tidak menghalang semangatnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat apabila hadir mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Sabtu.
Lia Isabella Iskandar Nain, 20, atau lebih mesra disapa Bella hadir ke pusat mengundi dengan penuh semangat bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi buat kali pertama.
Penjaganya, Salihaton Awang, 52, berkata, Bella sudah menunjukkan keterujaan untuk mengundi sejak awal lagi selepas melihat bendera parti politik dipasang di sekitar kawasan tempat tinggal mereka.
"Sejak awal lagi Bella memang bersemangat hendak mengundi. Dari rumah lagi dia sudah bersiap kerana tidak sabar untuk datang ke pusat mengundi dan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.
"Ibunya meminta saya membawa Bella ke sini untuk mengundi kerana dia bekerja. Selepas ini saya pula akan mengundi," katanya ketika ditemui di pusat mengundi di sini.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Bella menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar, di sini, pada Sabtu.
**media[3578462]**
Sementara itu, pekerja Bakery di Singapura, Ong Chik Ho, 42 mengambil peluang cuti hujung minggu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Dia turut memuji proses pengundian berjalan lancar dan hanya memerlukan masa lima minit untuk selesai.
"Saya bekerja di Singapura, hari ini memang cuti. Tetapi jika hari bekerja pun saya akan pergi mengundi untuk hak saya.
"Proses undi sangat sekejap, hanya ambil masa lima minit sahaja sudah selesai," katanya.





