KLUANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berharap lebih ramai pengundi, khususnya golongan muda, keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, proses pengundian di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tuan Poon Simpang Renggam berjalan lancar.
"Saya telah selamat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN Machap.
"Selepas ini saya akan ke Puteri Wangsa untuk meninjau keadaan di sana pula.
**media[3578361]**
"Proses pengundian setakat ini berjalan lancar. Saya dimaklumkan seawal pagi sudah ramai pengundi hadir di saluran mengundi dan kita harap lebih ramai akan keluar mengundi," katanya pada Sabtu.
Mengulas harapannya pada hari pengundian, Maszlee berkata, beliau mendoakan kejayaan calon PH yang bertanding di Machap dan Layang-Layang, selain berharap gabungan itu memperoleh keputusan terbaik di seluruh Johor.
"Saya berdoa supaya calon PH di Machap, saudara Nor Hafiz mampu membuat kejutan. Saya juga mendoakan yang terbaik buat semua calon PH di Machap dan Layang-Layang.
**media[3578344]**
"Di seluruh negeri Johor, kita berharap para pengundi keluar mengundi beramai-ramai, terutama orang muda, dan membuat pilihan yang terbaik demi masa depan negeri Johor," katanya.





