
PETALING JAYA – Urusan cetakan MyKad di seluruh negara dijangka mengalami gangguan sementara selama enam hari bermula esok, susulan proses peralihan kepada MyKad Generasi Baharu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan berkenaan dijangka berlaku bermula 26 hingga 31 Ogos ini.
Menurut JPN, pihaknya kini sedang melalui proses peralihan daripada MyKad struktur sedia ada kepada MyKad Generasi Baharu.
“Sepanjang tempoh peralihan ini, urusan cetakan MyKad di seluruh negara dijangka mengalami gangguan sementara bermula 26 Ogos 2026 hingga 31 Ogos 2026,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk membuat penukaran atau gantian MyKad dinasihatkan menangguhkan sementara urusan tersebut.
Langkah berkenaan bagi mengelakkan kesulitan kepada orang ramai sepanjang proses peralihan sistem dan pengeluaran kad baharu dilaksanakan.
Dalam pada itu, JPN turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga yang mahu membuat permohonan MyKad kali pertama bagi kanak-kanak berusia 12 tahun supaya menunggu seketika.
Menurut jabatan itu, langkah tersebut bagi membolehkan kanak-kanak berkenaan menerima MyKad Generasi Baharu apabila pengeluarannya bermula dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, pemakluman berkenaan hanya melibatkan urusan cetakan MyKad sepanjang tempoh dinyatakan.
JPN pada masa sama menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang proses peralihan tersebut.
“JPN memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Cetakan MyKad terganggu enam hari mulai esok appeared first on Kosmo Digital.





