
GEORGE TOWN : Seramai 20 lelaki warga China yang berusia antara 19 hingga 41 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket penipuan love scam yang dipercayai menyasarkan mangsa dari negara tersebut.
Perintah reman terhadap kesemua suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Nurhanisah S.H. Sahul Hamid selepas kesemua suspek yang diwakili peguam, Cheah Eng Soon, dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Terdahulu, kesemua mereka ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah tiga tingkat di Batu Feringgi kira-kira pukul 7.05 malam semalam.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas lebih 100 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga komputer riba, beberapa buku nota serta pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
Siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan aplikasi Telegram bagi menjalankan urusan penipuan terhadap mangsa yang disasarkan.
Difahamkan, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti modus operandi sebenar sindiket berkenaan termasuk jumlah mangsa serta nilai kerugian yang terlibat. – UTUSAN
The post Sindiket Love Scam: 20 warga China direman empat hari appeared first on Utusan Malaysia.






