
CFMOTO semakin menunjukkan komitmen tinggi untuk menempatkan diri sebagai jenama yang serius dalam dunia perlumbaan motosikal antarabangsa. Selepas kejayaan mereka menembusi kejuaraan Moto3 dan menjadi antara penaja dalam kancah MotoGP, kini CFMOTO mengambil satu lagi langkah besar iaitu menyatakan hasrat untuk menyertai Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK).
Kesungguhan CFMOTO bukan sekadar kenyataan kosong kerana mereka telah melantik Matteo Ferrari sebagai pelumba ujian rasmi untuk projek WSBK tersebut. Ferrari bukan nama sembarangan. Beliau merupakan juara sulung MotoE World Cup pada tahun 2019 dan kini aktif berlumba dalam FIM MotoE bersama Ducati. Dengan latar belakang yang luas dari minimoto, Moto3, hingga ke MotoE, pemilihan Ferrari membuktikan bahawa CFMOTO mahu membangunkan jentera yang benar-benar kompetitif melalui pengalaman dan kepakaran teknikal pelumba bertaraf dunia.
CFMOTO juga telah menunjukkan kehadiran mereka di pelbagai peringkat kejuaraan sebagai penaja, membina jenama dan reputasi dalam kalangan pasukan elit. Kini dengan perancangan menyertai WSBK, mereka dilihat mahu menempatkan diri sebaris dengan nama-nama besar seperti Ducati, Yamaha dan Kawasaki. Mereka bukan sahaja ingin bersaing tetapi juga mahu mengangkat jenama CFMOTO sebagai kuasa baharu dari Asia dalam dunia superbike.
Langkah ini jelas mencerminkan cita-cita mereka iaitu bukan sekadar membuat motosikal tetapi membina warisan di litar perlumbaan antarabangsa.
The post CF Moto Serius Mahu Takluk Dunia appeared first on TW Media.
