Hari pertama PKP Bersyarat

4 May 2020 • 8:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Hari ini, buat pertama kali sejak 48 hari lalu, jutaan rakyat Malaysia secara rasmi menjejakkan kaki keluar rumah untuk ke tempat kerja masing-masing.

Jalan-jalan raya akan kembali sesak seperti biasa, pejabat-pejabat mula riuh rendah dan restoran mula dipenuhi ketika berbuka puasa dan makan tengah hari kepada orang bukan Islam.

Sistem pengangkutan awam di bandar-bandar besar mula dipenuhi pengguna semula. KL Sentral di Kuala Lumpur yang lengang sejak sebulan lalu akan dibanjiri manusia.

Selain golongan yang mula bekerja, kaki-kaki joging juga akan keluar beramai-ramai dan memenuhi taman-taman. Kita juga akan melihat geng basikal mula mengayuh dan mungkin ada antara mereka terus melepaskan geram dengan berbasikal sejauh 100km!

Apa yang paling penting, semua aktiviti itu perlu mengikut arahan dan mengekalkan penjarakan sosial.

image is not available

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah sering kali mengingatkan, kita masih belum menang melawan koronavirus (Covid-19).

Walaupun majoriti sektor dibenarkan beroperasi semula, kerajaan tetap menggariskan beberapa aktiviti yang tidak dibenarkan seperti pusat hiburan, perhimpunan dan pertandingan sukan yang melibatkan penonton yang ramai.

Di sebalik kebenaran semula itu, ada sebahagian daripada rakyat masih berasa was-was dan menyifatkan kerajaan bertindak terlalu awal membenarkan aktiviti ekonomi digerakkan semula.

Kebimbangan itu ada asasnya dengan memberi beberapa contoh seperti Jepun di mana kes baharu Covid-19 meningkat semula selepas kerajaan negara itu melonggarkan PKP dan lockdown.

Enam negeri iaitu Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah telah mengumumkan untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga keputusan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri masing-masing.

Negeri lain seperti Perak, Selangor dan Negeri Sembilan pula akan melaksanakan PKPB yang diubah suai.

Terengganu, Perlis, Johor dan Wilayah Persekutuan pula akan melaksanakan sepenuhnya PKPB hari ini.

Hilang pekerjaan

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah kerajaan melaksanakan PKPB merupakan satu keputusan yang amat sukar untuk dibuat.

"Seperti perumpamaan Melayu, 'ditelan mati emak, diluah mati bapa', kalau tak diteruskan (kegiatan ekonomi), ekonomi terencat. Kalau hendak dibenarkan bergerak dari segi sektor ekonomi, kita ada masalah Covid-19 yang masih belum selesai," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

Kita semua memahami bahayanya virus itu kepada manusia tetapi kita ja¬ngan lupa nasib puluhan ribu, malah mungkin mencecah ratusan ribu orang telah hilang pekerjaan sejak PKP ini dilaksanakan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengumumkan pakej Bantuan Prihatin Nasional bagi mengurangkan beban kewangan rakyat, namun ia cuma untuk tempoh jangka pendek.

image is not available

Perdana Menteri turut menyebut ne¬gara telah kerugian sebanyak RM63 bilion sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu atau RM2.4 bilion sehari.

Dengan jumlah wang yang besar itu, sudah pasti ribuan syarikat terkesan dan ia akan menyebabkan kegawatan ekonomi yang teruk jika tidak diurus dengan baik.

Kita semua tahu, jika ribut ekonomi datang, golongan pertama yang akan terkena adalah pekerja seperti dipotong gaji, diberhentikan kerja, beban hutang bertambah dan sebagainya.

Bagi mengelak daripada ekonomi terus menjunam, akhirnya kerajaan memutuskan untuk membenarkan majoriti sektor memulakan aktiviti ekonomi mereka.

Kebenaran ini sudah semestinya dibuat dengan berhati-hati dan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, terdapat sebanyak 1,179,515 syarikat perniagaan yang aktif di negara ini.

"Jumlah perniagaan yang aktif adalah dalam anggaran 1.2 juta. Jika 80 peratus kembali beroperasi semula maka hampir satu juta perniagaan akan memulakan aktiviti mereka," katanya.

Sementara itu, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan, sektor pertanian mencatatkan sebanyak 19,031 perniagaan berdaftar, perlombongan dan pengkuarian (3,273), pembuatan (60,021), pembinaan (81,699) dan perkhidmatan (1,015,491).

Selamat bekerja semula kepada rakyat Malaysia dan utamakan kebersihan serta penjarakkan sosial. Kerap basuh tangan dan gunalah topeng muka!

KEPUTUSAN NEGERI-NEGERI MENGENAI PKPB

PERLIS

Bersetuju melaksanakan PKPB

KEDAH

Tangguh pelaksanaan PKPB, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri bincang pada 5 Mei

PULAU PINANG

Meneruskan PKP sehingga 8 Mei

PERAK

Melaksanakan PKPB tetapi masih tidak benarkan pelanggan makan di restoran dan aktiviti riadah diadakan

SELANGOR

Melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD)

NEGERI SEMBILAN

Menerima PKPB tetapi tidak benarkan makan di restoran dan aktiviti riadah

MELAKA

Belum keluarkan sebarang kenyataan

JOHOR

Keputusan diumumkan hari ini

PAHANG

Tangguh perlaksanaan PKPB keputusan dicapai Jumaat ini.

TERENGGANU

Melaksanakan PKPB tetapi akan menarik balik jika pematuhan rendah.

KELANTAN

Tangguh perlaksanaan PKPB.

SARAWAK

Tidak laksanakan PKPB.

SABAH

Tidak laksanakan PKPB.