TH teliti cadangan NGO mengenai RCI

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 6:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: TH teliti cadangan NGO mengenai RCI
Langkah penubuhan RCI TH dilihat sebagai usaha mendapatkan fakta, meneliti isu yang dibangkitkan serta memastikan ketelusan dalam pengurusan institusi berkenaan. Foto: Asril Aswandi Abd Shukor
Image from: TH teliti cadangan NGO mengenai RCI
HIKAM, gabungan NGO Islam serah memorandum, kemuka 10 tuntutan susulan RCI Tabung Haji.

SHAH ALAM – [KEMAS KINI] Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneliti segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi memorandum yang diserahkan pada Himpunan Aman Solidariti Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH.

TH menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pihaknya menghargai tindakan itu kerana ia mencerminkan keprihatinan masyarakat dalam mendukung institusi haji negara serta memelihara kemaslahatan ummah.

"Kesemua pandangan dan cadangan yang disampaikan akan diteliti oleh pengurusan TH bagi membantu organisasi mencapai hasrat melaksanakan penambahbaikan berterusan untuk kesejahteraan lebih 9.8 juta pendeposit.

"TH juga menyokong tindakan tegas kerajaan dalam mengambil tindakan sewajarnya berhubung hasil dapatan RCI," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu TH memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan lebih 75 peratus daripada syor-syor RCI dan terus giat melaksanakan baki penambahbaikan secara keseluruhan.

Menurut TH, usaha pemulihan yang dilaksanakan secara berterusan sejak lapan tahun lalu telah membolehkan kedudukan institusi itu semakin mengukuh.

"Hasilnya juga dapat dilihat dengan kedudukan TH hari ini jauh lebih kukuh berbanding tahun 2018 atas usaha pemulihan berterusan," ujarnya.

Terdahulu, Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyerahkan memorandum kepada TH dengan mengemukakan 10 tuntutan susulan Laporan RCI berkaitan pengurusan dan operasi institusi berkenaan pada Jumaat.

Memorandum itu diserahkan HIKAM yang terdiri daripada Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan gabungan pelbagai NGO Islam.

**media[3608338]**

Menerusi kenyataan mereka berkata, memorandum itu dikemukakan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuhkan TH melalui tatakelola yang penuh integriti, telus dan bertanggungjawab.

Menurutnya, usaha tersebut bagi mengembalikan TH mengikut Akta Tabung Haji serta mengutamakan pelaburan dan kebajikan bakal tetamu ALLAH.

"Antara tuntutan dikemukakan ialah tindakan undang-undang yang segera, tegas dan telus terhadap sebarang salah guna kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan, kecuaian atau pelanggaran tatakelola.

"Kami juga menuntut pemulangan kerugian, aset dan manfaat yang disalahgunakan, selain menyeru supaya isu RCI dan TH tidak dipolitikkan," katanya.

Selain itu, mereka menggesa reformasi tatakelola Kerajaan Madani diteruskan, termasuk melalui sistem semak dan imbang, audit bebas, pengawasan Parlimen dan pemantauan berkala terhadap kedudukan kewangan, pelaburan serta operasi TH.

Mereka turut memohon semakan menyeluruh terhadap Akta Tabung Haji 1995 dan peraturan berkaitan, selain menjamin kebebasan profesional serta pelantikan anggota lembaga pengarah, pengurusan tertinggi dan pegawai utama berdasarkan merit.

"Kerajaan dan TH diminta menyediakan pelan tindakan rasmi bagi melaksanakan syor RCI secara terbuka dan berjadual serta menerbitkan laporan kemajuan secara berkala kepada pendeposit dan masyarakat.

"Kami turut menuntut mekanisme integriti, audit dan perlindungan pemberi maklumat diperkukuhkan serta kepimpinan TH meneruskan tugas dengan penuh amanah dan kewibawaan," katanya.

Ujarnya, sebagai tuntutan terakhir, mereka mahu prinsip keadilan ditegakkan dalam semua tindakan susulan laporan RCI serta TH dipelihara sebagai institusi strategik umat Islam.

Mereka menegaskan sebarang reformasi besar terhadap struktur, undang-undang atau mandat TH hendaklah melibatkan rundingan dengan ulama, pakar Syariah, ahli ekonomi, pakar kewangan Islam, pendeposit dan pertubuhan masyarakat Islam.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved