CGS-CIMB mulakan liputan terhadap Dayang dengan saranan ‘tambah’, harga sasaran RM1.70 sesaham
diyana
06/06/2023 - 12:33
KUALA LUMPUR 6 Jun - CGS-CIMB Research telah memulakan liputan terhadap Dayang Enterprise Holdings Bhd, dengan saranan ‘tambah’ dan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham.
Menurut firma penyelidikan itu, penyedia perkhidmatan luar pesisir yang berpangkalan di Sarawak dalam industri minyak dan gas (O&G) telah bertapak kukuh sebagai pembekal utama perkhidmatan brownfield di Malaysia sejak penubuhannya pada 1980.
Tambahnya, pendapatan Dayang dikategorikan kepada dua segmen utama iaitu perkhidmatan penyelenggaraan bahagian atas (TMS) dan perkhidmatan sokongan luar pesisir marin (OMS).
"Kami percaya Dayang di kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan terancang dalam tahap aktiviti memandangkan kepakaran mantap kumpulan dan rekod prestasi yang terbukti dalam segmen perkhidmatan sokongan brownfield," katanya dalam nota hari ini.
Selepas mencatat keuntungan hampir tiga kali ganda pada 2022 daripada asas yang rendah, firma tersebut meramalkan keuntungan bersih Dayang merosot 6% pada tahun kewangan 2023 (FY23), sebelum menyambung semula trajektori pertumbuhannya dan melantun semula sebanyak 40% pada FY24, dan 15% bagi FY25.
“Walaupun keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) kumpulan lemah yang merupakan satu kemunduran, kami percaya kelemahan pendapatan bersifat sementara dan menjangkakan keuntungan pulih dengan kukuh pada 3QFY23, serta momentum diteruskan pada 2024 dan 2025 berikutan perintah kerja lancar dimulakan semula,” tambahnya.
Prestasi kukuh harga saham Dayang dalam tempoh 10 bulan lalu sebanyak 33%, di mana anggaran firma bagi FY24, saham itu didagangkan pada harga perolehan kecuali tunai 7.4 kali, jauh di bawah min 10 tahunnya sebanyak 11.5 kali.
Firma itu berkata saham Dayang pada masa ini didagangkan pada 12.5 kali harga perolehan FY23, disokong oleh kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan bersih FY23 hingga FY25 sebanyak 27% memandangkan aliran pesanan kembali normal, yang diterjemahkan kepada nisbah harga perolehan kepada pertumbuhan (PEG) 0.5 kali.
“Kami menganggap penilaian sedemikian menarik untuk saham minyak dan gas dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang menggalakkan, rekod prestasi cemerlang dan kunci kira-kira tunai bersih (FY23),” tambahnya.
Saham Dayang ditutup pada waktu rehat tengahari ini pada RM1.16 dengan modal pasaran berjumlah RM1.34 bilion. -DagangNews.com

