CGS-CIMB Research jangka pendapatan Dialog pulih dipacu segmen huluan dan hiliran
diyana
16/08/2023 - 09:58
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Pendapatan Dialog Group Bhd dijangka pulih dipacu oleh segmen huluan dan hiliran, dengan potensi pemangkin penilaian semula termasuk pendapatan yang lebih baik setelah Dialog menyelesaikan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang kerugian dan menaikkan kadar penyelenggaraan lojinya.
CGS-CIMB Research berkata potensi pemangkin penarafan semula Dialog termasuk prospek positif segmen huluannya, kerana harga minyak semakin pulih daripada pengurangan pengeluaran daripada pengeluar utama Arab Saudi, Rusia dan ahli OPEC+ yang lain.
Sementara itu, syarikat usaha sama pengeluaran minyak daratnya di Thailand, Pan Orient Energy (Siam) Ltd (POES) terus melihat pengeluaran yang stabil, dan Dialog sudah melihat tahap pengeluaran lebih tinggi di Malaysia daripada kerja penggerudian yang dilakukan setakat ini.
CGS-CIMB Research berkata Dialog juga percaya bahawa kerja EPCC terdahulu yang merugikannya dijangka siap pada akhir Disember 2023 atau akhir Mac 2024.
Selepas itu, katanya, Dialog tidak akan lagi menanggung kerugian ini memandangkan kontrak EPCC baharu akan dinaikkan harga.
“Selain itu, kontrak penyelenggaraan loji dengan Petronas akan berakhir pada Jun 2024 dan Dialog akan merundingkan kadar tenaga kerja yang lebih tinggi untuk kontrak baharu itu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma itu, risiko penurunan termasuk potensi kerugian EPCC berlarutan lebih lama dan kadar penyimpanan tangki bebas dan penggunaan menjadi lemah jika pemotongan pengeluaran OPEC+ yang agresif berlanjutan ke suku keempat tahun ini.
Mengulas mengenai keuntungan bersih Dialog bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) sebanyak RM489 juta, CGS-CIMB Research berkata ia adalah di bawah jangkaannya dan konsensus Bloomberg, masing-masing pada 3.6% dan 7% disebabkan keuntungan terminal Pengerang yang merosot suku ke suku (QoQ).
Walaupun keuntungan bersih Dialog sebanyak RM114 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) telah jatuh 9% QoQ, CGS-CIMB berkata pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) meningkat 10% QoQ kepada RM57.8 juta, didorong oleh kerugian EPCC yang lebih rendah.
Firma itu mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan 3 sen kepada RM2.70 sesaham.
Pada waktu penulisan, saham Dialog turun 2 sen atau 0.9% kepada RM2.24 dengan permodalan pasarannya bernilai RM12.6 bilion. - DagangNews.com


