CGS-CIMB Securities lancar akaun Niaga Hadapan Patuh Syariah Global pertama bagi CME dan SGX

Business & Finance
22 Aug 2023 • 4:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CGS-CIMB Securities lancar akaun Niaga Hadapan Patuh Syariah Global pertama bagi CME dan SGX

diyana

22/08/2023 - 16:54

KUALA LUMPUR 22 Ogos - CGS-CIMB Securities Sdn Bhd melancarkan akaun Niaga Hadapan Patuh Syariah Global pertama untuk Chicago Mercantile Exchange (CME) dan Singapore Exchange (SGX).

Broker tersebut memperluaskan niaga hadapannya ke CME dan SGX susulan pelancaran Niaga Hadapan Patuh Syariah di Derivatif Bursa Malaysia pada Ogos tahun lalu.

Mengulas tentang tawaran tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB Securities, Azizah Mohd Yatim berkata produk tersebut diperkenalkan memandangkan pelaburan Syariah bukan sahaja mengenai transaksi kewangan atau pelaburan, malah ia adalah cara hidup yang menegakkan prinsip keadilan dan kemakmuran bersama.

“Dengan pengenalan tawaran baharu ini, kami menyaksikan penumpuan Syariah dengan instrumen kewangan yang canggih. Sinergi itu memperkasakan pelabur untuk mengambil bahagian dalam pasaran global sambil mematuhi nilai ketelusan, perkongsian risiko dan tanggungjawab social,” ujar beliau pada majlis pelancaran Niaga Hadapan Patuh Syariah Global di sini, hari ini.

Menurut beliau, faktor seperti risiko, pulangan, kecairan dan kos memainkan peranan penting apabila melabur dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

image is not available
Azizah Mohd Yatim

Oleh itu, katanya, Niaga Hadapan Patuh Syariah Global tersebut berusaha untuk mencapai keseimbangan tersebut untuk pelabur, menawarkan penyelesaian pelaburan alternatif yang sejajar dengan nilai mereka.

Sama seperti ESG dan Pelaburan Bertanggungjawab Sosial, Azizah berkata misi CGS-CIMB Securities adalah untuk menghubungkan pelabur dengan peluang yang sejajar dengan nilai mereka dan membantu mereka mencapai objektif pelaburan, di samping memberi kesan yang baik dan berkekalan ke atas ekonomi global.

“Dengan meminimumkan spekulasi dan mematuhi prinsip keadilan dan ketelusan, niaga hadapan patuh Syariah menyumbang kepada ekosistem kewangan yang menggalakkan tindakan kewangan yang bertanggungjawab dan kestabilan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Jualan Niaga Hadapan & CFDs CGS-CIMB Futures Sdn Bhd, Muhammad Azwan Sekeri menambah bahawa akaun Niaga Hadapan Patuh Syariah Global itu menawarkan 11 produk niaga hadapan daripada ketiga-tiga bursa berkenaan.

“Kami menawarkan produk ini bagi pelabur yang mencari platform untuk memperluaskan pelaburan mereka dalam niaga hadapan yang menjamin kepatuhan Syariah.

“Selain itu, kami menyasarkan untuk menarik pelanggan dalam kalangan Generasi Z agar melabur dalam platform yang dikawal selia,” katanya kepada media susulan pelancaran Niaga Hadapan Patuh Syariah Global tersebut. - DagangNews.com