CGS Malaysia jual kertas komersial RM400 juta

Business & Finance
13 Mar 2024 • 12:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CGS Malaysia jual kertas komersial RM400 juta

herman

13/03/2024 - 12:13

KUALA LUMPUR 13 Mac - CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) telah menjual kertas komersial hutang jangka pendek bernilai RM400 juta.

Terbitan itu merupakan tranche kedua program kertas komersial bernilai RM1 bilion, menawarkan faedah tahunan 4.1% dalam tempoh tiga bulan.

Firma broker saham dan penasihat pelaburan itu dalam satu kenyataan berkata, tranche tersebut akan matang pada 4 Jun 2024.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Alan Inn berkata, tranche kedua menyaksikan pelabur sedia ada dan baharu datang.

“Selain itu, tranche kedua terlebih langgan, membolehkan kami mengeluarkan jumlah yang lebih tinggi sebanyak RM400 juta berbanding tranche pertama RM300 juta, dan pada kadar diskaun yang lebih rendah.

"Ini mencerminkan peningkatan kebiasaan pelabur dengan jenama CGS MY dalam pasaran modal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

CGS MY menambah,ia merancang untuk menggunakan hasil daripada terbitan itu untuk tujuan modal kerja am, termasuk pembiayaan semula sebarang komitmen sedia ada atau jangka terdekat dan pinjaman masa hadapan.

Tranche sulung, yang dikeluarkan pada 22 Disember 2023, membawa faedah sebanyak 4.3% setahun dalam tempoh tiga bulan dan akan matang pada 22 Mac 2024.

Program ini diperkenalkan untuk menerbitkan kertas komersial jangka pendek dengan tempoh satu, tiga dan enam bulan atau tempoh lain sehingga 364 hari.

CGS MY menyatakan bahawa program itu "menyediakan fleksibiliti kewangan dan pembiayaan" dan meluaskan asas pembiayaannya untuk memasukkan pelabur pendapatan tetap jangka pendek.- DagangNews.com