amree22/06/2026 - 10:50 PEMANDANGAN pusat bandar raya Abu Dhabi di UAE. - Foto AFP Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Jun — Situasi geopolitik yang masih lagi tegang Timur Tengah dikhuatiri terus meningkatkan risiko pelaksanaan pelbagai projek pembinaan WCT Holdings Berhad di rantau itu.
Menurut CGS International, keadaan itu susulan kemungkinan kenaikan kos bahan mentah dan gangguan bekalan, apabila kumpulan tersebut memperoleh kontrak baharu di pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Justeru ujarnya, projek usaha sama (JV) 50:50 dengan Construction General Contracting House Ltd (CGCH) bernilai kira-kira RM529 juta bagi pembangunan di Abu Dhabi dinilai sebagai ada risiko perlu ditempuhi.
"Pegangan 50% WCT difahamkan akan mempunyai lebih banyak pakej susulan yang dijangka dianugerahkan dalam masa terdekat namun kerja-kerja terdedah kepada isu ketidaktentuan semasa," kata firma itu.
CGSI berkata, kontrak itu merupakan projek kedua diperoleh bagi tahun kewangan 2026, menjadikan jumlah nilai tender baharu setakat ini RM418 juta dengan buku tempahan semasa ialah RM2.1 bilion.
Firma itu menganggarkan margin kasar kontrak berjumlah tetap itu sekitar 9%, dengan klausa variasi turut ada bagi melindungi syarikat daripada kenaikan kos susulan isu ketegangan di Timur Tengah.

Ujarnya, walaupun projek luar negara kelazimannya mempunyai risiko lebih tinggi, kebimbangan itu dijangka dapat dikurangkan memandangkan pasaran rantau tersebut bukan sesuatu yang baharu bagi WCT.
"Sebelum ini, kumpulan berkenaan sebenarnya sudah pun berjaya menyiapkan beberapa projek utama di Timur Tengah termasuk kerja-kerja pembangunan Lusail di Qatar lebih lima tahun lalu," tambah CGSI.
Selain itu jelas firma berkenaan, rakan kongsi tempatannya, CGCH, berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri pembinaan dan tidak pernah mengalami isu kelewatan pelaksanaan banyak projek di UAE.
Sehubungan itu katanya, WCT ketika ini dilihat lebih agresif dalam membida pelbagai projek baharu dengan nilai tender semasa sebanyak RM14 bilion, merangkumi projek infrastruktur dan bangunan.
Antara yang sedang dibida tambah CGSI, termasuk sistem transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM3.5 bilion, serta Pakej 3 pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).
"Berdasarkan situasi itu, kami mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham kumpulan ini dan harga sasaran (TP) RM1.12 sesaham, disokong prospek pemulihan segmen pembinaan dan hartanah," katanya.
Bagaimanapun, firma itu menegaskan risiko utama termasuk prestasi pendapatan yang lebih lemah daripada jangkaan dalam segmen pembinaan serta jualan hartanah lebih perlahan. - DagangNews.com





