Perdagangan luar Malaysia bagi Mei 2026 terus dipengaruhi isu ketidaktentuan di Timur Tengah, kata penganalisis

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 10:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perdagangan luar Malaysia bagi Mei 2026 terus dipengaruhi isu ketidaktentuan di Timur Tengah, kata penganalisis Image from: Perdagangan luar Malaysia bagi Mei 2026 terus dipengaruhi isu ketidaktentuan di Timur Tengah, kata penganalisis amree22/06/2026 - 10:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Jun — Ketidaktentuan di rantau Timur Tengah, dan cabaran gangguan laluan perkapalan global terus mempengaruhi prospek perdagangan luar Malaysia bagi Mei 2026, menurut penganalisis.

 

Mereka berpandangan, meskipun prestasi eksport melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada bulan tersebut, prestasi belum stabil selain disebabkan risiko dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM327.63 bilion pada Mei 2026, kadar paling pantas dalam tempoh 44 bulan.

 

"Kami mendapati perkembangan tersebut sebenarnya disokong kukuh oleh faktor lonjakan eksport yang mencecah sebanyak 45.3% kepada rekod baharu iaitu RM184 billion," jelasnya dalam nota analisis.

 

Menurut firma penyelidikan itu, lebihan dagangan turut mencecah paras tertinggi RM40.38 bilion, sekali gus menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-73 secara berturut-turut sejak Mei 2020.

 

Sektor pembuatan ujar PublicInvest, kekal pemacu utama merangkumi 90.7% daripada jumlah eksport melonjak 51.7%, dipacu permintaan kukuh produk elektrik dan elektronik (E&E), serta petroleum.

 

Ia namun berpandangan sebahagian kekuatan semasa mungkin berpunca daripada aktiviti tempahan awal dan pengalihan perdagangan susulan gangguan rantaian bekalan global, yang ketika itu belum normal.

 

perdagangan luar_DagangNews2026

 

"Ketegangan yang kembali memuncak di Lubnan dikhuatiri mengekalkan kos tinggi penghantaran, premium insurans dan caj input berkaitan minyak mentah, sekali gus menekan margin pengeluar," tambahnya.

 

Sementara itu, MBSB Research berkata, pertumbuhan eksport Malaysia pada Mei 2026 turut dipacu oleh permintaan luar biasa terhadap produk E&E yang menyumbang kira-kira 66% atau 29.9 mata peratusan.

 

Firma itu berkata, eksport ke AS melonjak 97.7% tahun ke tahun, didorong permintaan kukuh terhadap produk E&E dan barang pembuatan lain, manakala eksport ke pasaran lain mencatat pertumbuhan mampan.

 

Menurutnya, prestasi bagi lima bulan pertama 2026 adalah lebih baik daripada jangkaan apabila jumlah perdagangan naik 18.3%, dengan eksport dan import masing-masing berkembang 24.3% dan 11.8%.

 

"Justeru, kami menaikkan unjuran pertumbuhan eksport Malaysia bagi 2026 kepada 14% berbanding 8.8% sebelum ini, manakala pertumbuhan import dijangka meningkat kepada 9% YoY," kata MBSB Research.

 

Bagaimanapun ia memberi amaran prospek perdagangan masih berdepan risiko gangguan bekalan global, dasar perdagangan AS yang lebih ketat serta inflasi global boleh menjejaskan permintaan akhir.

 

Walaupun lebihan dagangan dijangka kukuh, kedua-dua firma penyelidikan berpendapat pertumbuhan berterusan sektor E&E, akan menjadi faktor utama yang menentukan hala tuju perdagangan Malaysia.

 

Kestabilan rantaian bekalan global dan perkembangan dasar perdagangan AS jelas mereka, turut memberi pengaruh besar terhadap perkembangan eksport bagi baki tujuh bulan tahun ini. - DagangNews.com

Terkini standard