
Kota Kinabalu: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Tanjung Aru Datuk Chan Foong Hin berikrar untuk merapatkan jurang pembangunan dan membawa kemajuan inklusif ke kawasan itu dengan memanfaatkan pengalamannya dalam pentadbiran kerajaan.
Chan, yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata walaupun Tanjung Aru terletak di bawah kawasan Parlimen Putatan, secara sosioekonomi ia lebih dekat dengan Kota Kinabalu dan merupakan sebahagian penting dalam wilayah Greater Kota Kinabalu.
“Walaupun terdapat mercu tanda moden seperti resort mewah, pusat beli-belah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, masih terdapat komuniti yang hidup dalam kesusahan dan wajar diberi perhatian sama rata,” katanya.
Chan berkata lawatannya ke Pulau Gaya dan Sembulan baru-baru ini mendedahkan keperluan mendesak untuk menaik taraf infrastruktur dan memperkukuh kebajikan masyarakat, sambil menekankan wujudnya jurang ketara antara kawasan lama dan baharu.
“Sekiranya diberikan kepercayaan oleh rakyat, saya berhasrat menjadi jambatan berkesan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi memastikan dasar serta program pembangunan dapat disalurkan dengan cekap, khususnya di Tanjung Aru,” kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu.
Chan diumumkan sebagai calon PH oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, sebelum melancarkan Bilik Gerakan Pakatan Harapan Tanjung Aru berhampiran Golden Hotel, Jalan Kampung Sembulan.
