
KUALA LUMPUR – Charlayne Chong membuktikan dirinya yang terhebat apabila mengungguli Kejohanan The Ladies 2026 menerusi playoff ke atas Genevieve Ling selepas mereka terikat dengan keputusan 16 di bawah par 197 menerusi pusingan 54 lubang.
Kejohanan berprestif di Kelab Golf The Mines Resort selama tiga hari itu menampilkan barisan pemain profesional dan amatur terbaik Malaysia, termasuk Kelly Tan yang menamatkan kejohanan dengan bilangan pukulan 214.
Tempat ketiga dimenangi oleh juara bertahan, Liyana Durisic (11 di bawah par 202) dan keempat, Zulaikah Nasser (di bawah par 205).
Ng Jing Xuen dan Pang Hee Jie pula terikat di kedudukan berikutnya dengan 7-di bawah-par (206).
Ladies 2026 meneruskan objektifnya dalam menyediakan platform pertandingan yang kukuh untuk pemain golf wanita, di samping meningkatkan keterlihatan dan peluang bagi pembangunan sukan golf wanita di Malaysia.
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Pengasas The Mines Resort & Golf Club, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, The Ladies diwujudkan dengan visi jangka panjang bagi menyediakan peluang pertandingan yang bermakna buat pemain golf wanita.
“The Ladies adalah mengenai usaha memberi platform pertandingan yang kukuh dan peluang kepada pemain golf wanita untuk menonjolkan kebolehan mereka. Kita mahu melihat lebih ramai pemain golf wanita Malaysia maju, bertanding, dan mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi.
“Ini baru tahun kedua kami. Kami mahu The Ladies terus berkembang dari tahun ke tahun dan menjadi sebuah kejohanan yang sentiasa dinantikan oleh para pemain,” katanya.
The Ladies 2026 berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober 2026, menyusuli acara Royal Pro-Am pada 30 September 2026.
Cadangan struktur hadiah bagi tahun 2027 bakal menawarkan RM50,000 untuk juara, RM30,000 untuk naib juara, dan RM20,000 bagi tempat ketiga.
The post Charlayne dipaksa ‘mandi peluh’ sebelum muncul juara appeared first on Kosmo Online.

