
BEKAS pengurus Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar menyifatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar memberikan jawatan tetap kepada Tan Cheng Hoe bagi mengemudi skuad kebangsaan selepas berakhir kempen Piala ASEAN 2026.
Menurut Kamarul, pengalaman luas dan reputasi Cheng Hoe dalam industri bola sepak tempatan menjadi antara faktor utama mengapa bekas pengendali Selangor FC itu perlu diberikan peluang membimbing skuad negara secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata, pengendali kelahiran Kedah itu juga mampu menjadi aset penting buat skuad negara untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2030 nanti.
“Kita serah kepada FAM (untuk buat keputusan lanjut). Saya merasakan Cheng Hoe wajar diberi peluang untuk menggalas jawatan ini kerana dia adalah satu nama besar dalam industri bola sepak Malaysia.
“Saya yakin dia mampu menggalas tanggungjawab penuh jika diberi ruang dan peluang serta kebebasan untuk membimbing pasukan Harimau Malaya.
“Mungkin Cheng hoe mampu menghadirkan sesuatu yang kalau bukan dikatakan ajaib, mampu melakar sejarah sekali lagi apabila kita layak ke Piala Asia,” katanya kepada Kosmo!.
Sebagai rekod, Cheng Hoe diberikan tugas membimbing pasukan secara interim selepas jurulatih dari Australia, Peter Cklamovski meletakkan jawatan secara mengejut Jun lepas.
Walaupun berdepan kekangan serta persiapan singkat, Cheng Hoe masih mampu melunaskan sasaran membantu Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala ASEAN 2026 dan bakal menentang Vietnam Ahad ini.
Bagaimanapun, FAM dijangka membuat keputusan rasmi mengenai status barisan kejurulatihan skuad negara selepas Kongres Pemilihan badan induk sukan No. 1 negara itu yang dijangka berlangsung September depan.
The post Cheng Hoe layak dilantik secara tetap appeared first on Kosmo Digital.




