
Sebuah Institut Pendidikan Tempatan Awam (IPTA) terkemuka baru-baru ini telah mengundang kemarahan netizen berkenaan dengan poster kod pemakaian untuk majlis graduasi.
Apa yang mendatangkan kemarahan mereka adalah berkenaan dengan contoh kod pakaian yang dilarang jika menghadiri majlis tersebut.
Saree dan Cheongsam adalah dilarang
Poster itu mula tular di Twitter dan meraih lebih daripada 1,700 jumlah retweets sepanjang 2 hari ia dikongsikan.
Dalam poster tersebut dipaparkan kod pemakaian buat para graduan dan tetamu yang hadir dalam majlis tersebut. Untuk pakaian graduan lelaki, dinasihatkan untuk memakai suit lengkap atau baju formal bersama tali leher serta baju melayu bersertakan kasut formal gelap bertutup kaki, begitu juga dengan tetamu yang ditambah dengan baju kemeja batik.
Sementara itu, untuk graduan wanita, mereka diarahkan untuk memakai baju kurung atau kebaya labuh atau blouse serta kemeja lengan panjang bersertakan kain/skirt labuh gelap sehingga ke buku lali, begitu juga dengan tetamu wanita.
Sementara itu, pakaian larangan buat lelaki dan perempuan adalah seluar jeans, seluar pendek, kemeja T, skirt singkat, blouse tanpa lengan dan pario, turut menjadi larangan adalah capal/selipar.

Apa yang menjadi perhatian netizen adalah, kelihatan Saree dan Cheongsam adalah sebahagian pakaian yang dilarang. Oleh itu, rata-rata netizen mempertikaikan peraturan tersebut kerana Saree dan Cheongsam merupakan sebahagian daripada pakaian tradisional buat bangsa India dan Cina.



IPTA padam poster

Bagaimanapun poster tersebut telah pun dipadamkan,lapor Malay Mail. Namun begitu, mengikut tinjauan team Lobak Merah, laman sesawang tersebut telah menggantikan poster tersebut dengan penjelasan dalam bentuk jadual.

Harap perkara ini selesai dan tidak perlu diperbesarkan lagi.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



