

Chery Malaysia terus menunjukkan komitmennya dalam memberi sokongan padu kepada atlet Malaysia dengan meraikan kejayaan wira Paralimpik negara yang memenangi pingat di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Penyerahan Pelbagai Model Chery Kepada Atlet
Dalam satu majlis istimewa yang diadakan semalam, Chery menyerahkan SUV elektrik Omoda E5 kepada pemenang pingat emas, Cheah Liek Hou, manakala Muhammad Ziyad Zolkefli, pemenang pingat perak, menerima SUV Omoda 5 sebagai tanda penghargaan atas pencapaian mereka.
Atlet angkat berat dan pemegang pingat emas, Bonnie Bunyau Gustin, yang turut mencipta rekod dunia di Paris telah menerima Tiggo 8 Pro. Bagaimanapun, beliau tidak dapat hadir dalam majlis berkenaan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh atlet Paralimpik bersama keluarga masing-masing, wakil rasmi dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) termasuk Menterinya, YB Hannah Yeoh, Majlis Paralimpik Malaysia, serta wakil dari Chery Malaysia.

Menurut YB Hannah Yeoh, "Atlet Paralimpik kita adalah simbol kekuatan dan ketabahan yang memberi inspirasi kepada kita semua.”
Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew, pula berkata, "Kami berbesar hati dapat menyampaikan kenderaan Chery kepada Liek Hou dan Ziyad, yang memilih Omoda E5 dan Omoda 5 sebagai kenderaan pilihan mereka."
Komitmen Berterusan Chery Malaysia


Penyerahan kenderaan ini adalah sebahagian daripada usaha Chery Malaysia untuk menyokong atlet negara yang bertanding dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024. Sebelum ini, Chery telah menghadiahkan tiga unit SUV Tiggo 7 Pro kepada pemain badminton negara, Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas pencapaian mereka meraih pingat gangsa.
Diskaun Eksklusif untuk Atlet


Selain itu, Chery turut menawarkan diskaun eksklusif untuk pembelian kenderaan kepada atlet Olimpik dan Paralimpik Paris 2024. Pemenang pingat emas layak menerima potongan sebanyak 50% bagi model Tiggo 8 Pro, Omoda E5 dan Omoda 5. Pemenang pingat perak serta atlet yang mara ke separuh akhir dan akhir menerima potongan 30%, manakala semua atlet yang layak ke Olimpik dan Paralimpik 2024 dapat menikmati diskaun 15% untuk model yang sama.


