

Chery muncul sebagai jenama automotif China pertama yang telah mengeksport lima juta kenderaan secara global. Pencapaian ini direkodkan pada 31 Julai 2025, di mana jumlah pengguna Chery di seluruh dunia kini melebihi 17.18 juta, termasuk lebih 5.17 juta pelanggan luar negara.
Prestasi Cemerlang Julai 2025


Menurut laporan CarNewsChina, Chery Group mencatatkan penghantaran sebanyak 224,439 unit kenderaan penumpang secara global pada Julai 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 14.7% berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan 65,357 unit terjual pada bulan yang sama, meningkat 44.1% secara tahunan.


Chery Group mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju eksport kenderaan China selama lebih 20 tahun berturut-turut. Pada Julai 2025, sebanyak 119,090 kenderaan dieksport, peningkatan sebanyak 31.9% berbanding tahun lalu.
Dalam tempoh tujuh bulan pertama 2025, Chery merekodkan jualan terkumpul sebanyak 1,484,563 unit, meningkat 14.5% berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah ini, 669,360 unit adalah untuk pasaran eksport.
Kedudukan Terkini Dalam Pasaran Eksport China


Bagi separuh pertama 2025 (1H 2025), Chery kekal sebagai pengeksport utama kenderaan China dengan 544,937 unit terjual. Sementara itu, BYD berada di tangga kedua dengan 443,098 unit, mencatatkan pertumbuhan luar biasa sebanyak 118.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.
CarNewsChina turut mendedahkan destinasi eksport teratas bagi kenderaan Chery dalam 1H 2025 ialah Mexico (234,500 unit), UAE (214,300 unit) dan Rusia (171,000 unit). Negara lain dalam senarai sepuluh teratas termasuk Brazil, Belgium, United Kingdom, Arab Saudi, Australia, Filipina dan Kazakhstan.
Sumber: CarNewsChina



