liza24/11/2026 - 16:10 Menerusi cadangan pembangunan itu, PMCK akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengambil alih tanah berstatus pegangan pajakan yang dikhususkan untuk pembangunan hospital swasta berkenaan daripada anak syarikat milik penuh CHGP, Chin Hin Property (Melaka) Sdn Bhd pada harga RM8.48 juta Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Chin Hin Group Property Berhad (CHGP) bekerjasama dengan PMCK Berhad untuk membangunkan sebuah hospital swasta di atas tanah seluas 1.13 hektar (2.78 ekar) di Melaka Tengah menerusi struktur usaha sama dengan pegangan ekuiti 70:30.
Menerusi cadangan pembangunan itu, PMCK akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengambil alih tanah berstatus pegangan pajakan yang dikhususkan untuk pembangunan hospital swasta berkenaan daripada anak syarikat milik penuh CHGP, Chin Hin Property (Melaka) Sdn Bhd pada harga RM8.48 juta.
Harga pembelian itu bersamaan kira-kira RM70 sekaki persegi.
Di bawah struktur usaha sama berkenaan, PMCK akan memegang 70% kepentingan ekuiti dalam SPV itu manakala baki 30% akan dimiliki Chin Hin Property (Melaka) Sdn Bhd atau penamanya.
Susunan itu membolehkan CHGP merealisasikan nilai tanah miliknya sambil mengekalkan kepentingan jangka panjang dalam pembangunan hospital berkenaan.
CHGP perluas pendedahan kepada sektor penjagaan kesihatan
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CHGP, Chang Tze Yoong berkata, kerjasama itu mencerminkan pendekatan syarikat dalam menjana nilai daripada bank tanahnya menerusi realisasi nilai komersial dan pada masa sama mengekalkan kepentingan dalam sektor yang mempunyai prospek pertumbuhan berterusan.
Menurutnya, Melaka kekal sebagai koridor penting kepada kumpulan itu dan kerjasama dengan PMCK yang mempunyai pengalaman dalam pengendalian hospital membolehkan kemudahan penjagaan kesihatan swasta dibangunkan di negeri berkenaan.
“Pembangunan itu turut menyokong pertumbuhan sosioekonomi komuniti setempat menerusi penyediaan infrastruktur penjagaan kesihatan khusus.
“Kerjasama itu juga memperluas pendedahan perniagaan CHGP daripada pembangunan hartanah kediaman dan perindustrian kepada hartanah penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
PMCK perluas operasi ke selatan
Sementara itu, Pengarah Urusan PMCK, Datuk Dr. Lee Gaik Cheng berkata, pengambilalihan tanah berkenaan merupakan langkah penting dalam usaha kumpulan itu mengembangkan operasi ke luar wilayah utara Malaysia.
Katanya, Melaka dipilih sebagai lokasi berikutan populasinya yang besar dan berkembang, selain keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti yang lebih dekat dengan masyarakat setempat.
Beliau berkata, PMCK mahu membawa pendekatan penjagaan kesihatan berteraskan komuniti yang telah menjadi asas operasinya di Kedah selama 30 tahun ke Melaka.
Fokus kumpulan itu adalah menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses dan mampu milik, selain membina hubungan kerja rapat dengan keluarga tempatan, pengamal perubatan am serta rakan penjagaan kesihatan.
Menurutnya, tapak seluas 1.13 hektar (2.78 ekar) yang dikhususkan untuk pembangunan hospital swasta itu menyediakan asas bagi membangunkan kemudahan kesihatan yang dapat memenuhi keperluan masyarakat Melaka dalam jangka panjang.
Permintaan pelancongan perubatan terus meningkat
Dalam pada itu, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Melaka terus berkembang seiring dengan aktiviti ekonomi negeri serta perkembangan sektor pelancongan perubatan. Menurut Invest Melaka, Hospital Putra menerima purata lebih 10,000 pelancong perubatan setiap tahun sepanjang 2023 hingga 2025.
Perkembangan itu menunjukkan permintaan berterusan terhadap kapasiti perkhidmatan perubatan tambahan bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan serta pesakit dari rantau ini.
Kerjasama CHGP dan PMCK itu dijangka memperluas penyediaan infrastruktur penjagaan kesihatan swasta di Melaka, selain memberi peluang kepada kedua-dua kumpulan memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam pembangunan hartanah dan pengurusan hospital.- DagangNews.com





