Ekuestrian Sultan Selangor 2026 perkasa pembangunan sukan berkuda

20 Nov 2026 • 5:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ekuestrian Sultan Selangor 2026 perkasa pembangunan sukan berkuda

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasakan pembangunan sukan ekuestrian, khususnya di Selangor, terus diperkukuh menerusi penganjuran sulung Kejohanan Ekuestrian Sultan Selangor 2026 yang berlangsung dari 27 hingga 29 November ini.

Kejohanan di Selangor Royal Polo & Equestrian Club, Cyberjaya itu dianjurkan bersempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, sekali gus menghimpunkan atlet ekuestrian, penunggang kuda, peminat sukan berkuda serta masyarakat umum.

Selain mengetengahkan bakat penunggang tempatan, penganjuran berkenaan turut membuka ruang kepada penglibatan lebih meluas generasi muda dan masyarakat dalam sukan berkuda, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap sukan berkenaan.

Kejohanan itu juga menjadi antara platform memperkenalkan Selangor Royal Polo & Equestrian Club, yang mula dibuka sekitar Ogos lalu, sebagai fasiliti baharu bagi penganjuran pertandingan dan aktiviti sukan berkuda di negeri ini.

Kejohanan yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu mempertandingkan dua disiplin utama, iaitu Show Jumping dan Dressage yang menuntut kemahiran, ketepatan, disiplin serta keserasian tinggi antara penunggang dan kuda.

Selain menyaksikan aksi pertandingan di gelanggang, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti sepanjang tiga hari kejohanan, termasuk gerai makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai pilihan juadah untuk seisi keluarga.

Pengunjung yang membawa anak-anak juga boleh menyertai aktiviti Fun Ride menggunakan kuda poni, tertakluk kepada syarat keselamatan dan ketersediaan, selain aktiviti lukisan muka bagi memeriahkan suasana.

Penganjuran berkenaan bukan sahaja diharap dapat mengetengahkan bakat penunggang tempatan, malah menjadi pemangkin kepada usaha memperluas penglibatan masyarakat dan generasi muda dalam sukan ekuestrian, sekali gus menyokong pembangunan sukan berkuda secara berterusan di Selangor dan negara.

Sebagai edisi sulung, kejohanan itu turut dirancang untuk diteruskan sebagai acara tahunan bagi menyediakan platform berterusan dalam pembangunan bakat, memperluas penyertaan komuniti serta memperkukuh ekosistem sukan ekuestrian di Malaysia.-KOSMO! ONLINE

The post Ekuestrian Sultan Selangor 2026 perkasa pembangunan sukan berkuda appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved