Chin Hin Group Property perkenal projek industri The NeX bernilai RM449 juta di Kota Damansara

22 Jun 2026 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Chin Hin Group Property perkenal projek industri The NeX bernilai RM449 juta di Kota Damansara Image from: Chin Hin Group Property perkenal projek industri The NeX bernilai RM449 juta di Kota Damansara liza22/06/2026 - 10:50 Ilustrasi The Nex apabila siap kelak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Jun – Chin Hin Group Property Bhd (CHGP) memperkenalkan projek pembangunan industri pertamanya dikenali sebagai The NeX di Kota Damansara, Selangor yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM449 juta.

 

Projek ini dibangunkan sebagai pembangunan industri moden di atas tanah seluas kira-kira 1.6 hektar (4 ekar) di Jalan Teknologi dengan bangunan sembilan tingkat.

 

Chin Hin berkata, The NeX menawarkan sebanyak 242 unit ruang industri moden yang direka untuk kegunaan perniagaan, logistik ringan serta operasi komersial berskala sederhana.

 

“Unit-unit tersebut mempunyai keluasan binaan antara 2,153 kaki persegi hingga 5,285 kaki persegi dengan harga jualan bagi setiap unit bermula sekitar RM1.769 juta bergantung kepada saiz dan spesifikasi ruang.

 

“Dari segi reka bentuk operasi, projek ini menyediakan laluan luar bangunan yang mampu menampung kenderaan berat sehingga kira-kira 10 tan.

 

“Selain itu, sistem laluan kenderaan dalam bangunan dari aras bawah hingga tingkat lapan mampu menampung kapasiti sekitar lima tan bagi memudahkan pergerakan logistik dan operasi harian,” katanya.

 

The NeX turut direka dengan siling setinggi kira-kira 6.8 meter serta pintu jenis roller shutter (pintu gulung automatik) setinggi 4.5 meter bagi memudahkan urusan keluar masuk barangan berskala besar.

 

t

 

Kemudahan lain yang disediakan termasuk dua gelanggang pickleball, bilik mesyuarat, gymnasium serta dewan serbaguna yang mampu menampung sehingga 1,000 orang pada satu-satu masa.

 

Selain itu, pembangunan ini turut menyediakan lebih 600 ruang parkir untuk menampung keperluan pengguna, pekerja dan pengunjung.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CHGP, Chang Tze Yoong berkata The NeX dibangunkan sebagai model baharu ruang perniagaan moden yang menggabungkan elemen kerja, perniagaan dan gaya hidup.

 

Beliau berkata konsep tersebut mencerminkan perubahan keperluan industri masa kini yang memerlukan ruang lebih fleksibel, bersepadu dan sesuai untuk generasi baharu usahawan serta inovator.

 

Dari segi akses, The NeX mempunyai sambungan strategik ke beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Bertingkat Damansara–Shah Alam, Lebuhraya Lembah Klang Utara dan Lebuhraya Damansara–Puchong yang meningkatkan hubungan rangkaian pengangkutan ke seluruh Lembah Klang.

 

Secara keseluruhan, The NeX dilihat sebagai langkah strategik Chin Hin dalam memperkenalkan pembangunan industri generasi baharu yang menggabungkan elemen perniagaan, operasi dan gaya hidup dalam satu ekosistem bersepadu. - DagangNews.com

Terkini standard