
KUALA LUMPUR 11 Dis – Chin Hin Group Bhd melupuskan 44.12 juta saham biasa dalam Signature International Bhd (SIB) pada harga purata RM1.36 sesaham, dengan jumlah pertimbangan keseluruhan kira-kira RM59.99 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pelupusan tersebut dilaksanakan menerusi urus niaga luar pasaran antara 25 Julai 2025 hingga 9 Disember 2025, mewakili 6.83% daripada modal saham berbayar dan terbitan SIB.
Sebelum pelupusan, Chin Hin memegang 455.23 juta saham atau 70.52% kepentingan dalam SIB.
Selepas transaksi selesai, pegangan itu berkurang kepada 411.11 juta saham, bersamaan 63.69%.
SIB, yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, merupakan syarikat pegangan pelaburan dengan prestasi kewangan kukuh.
Berdasarkan penyata kewangan beraudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, SIB mencatatkan keuntungan selepas cukai RM122.54 juta dengan aset bersih RM527.42 juta.
“Pelupusan ini merupakan sebahagian daripada strategi pengurusan modal kumpulan untuk memperuntukkan semula dana dan merealisasikan nilai bagi keutamaan strategik.
“Hasil daripada pelupusan ini akan digunakan sebagai modal kerja kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Kos asal pelaburan untuk saham SIB yang dilupuskan adalah sekitar RM25.81 juta, diperoleh dari tempoh 8 Mac 2021 hingga 7 Mei 2024.
Pelupusan tersebut menghasilkan keuntungan kira-kira RM34.18 juta. - DagangNews.com

