
KUALA LUMPUR 8 Dis – Nextgreen Global Bhd (NGGB) menandatangani kerjasama strategik melalui usaha sama bernilai RM882 juta untuk membangunkan fasiliti pengeluaran pulpa kertas berasaskan berskala besar di Pahang.
Kumpulan itu juga akan melupuskan dua bidang tanah industri bernilai keseluruhan RM69 juta kepada syarikat tujuan khas (SPV) projek tersebut.
Dalam satu kenyataan, Nextgreen berkata JV itu melibatkan Nextgreen IOI Pulp Sdn Bhd (NIP) bersama IOI Corporation Bhd, Hong Kong Paper Sources Co Ltd, Xiamen C&D Paper & Pulp Group Co Ltd serta Neuwhite Paper Pulp Sdn Bhd, iaitu syarikat tujuan khas (SPV) yang diperbadankan pada 29 April 2025 untuk melaksanakan projek berkenaan.
Menurut Nextgreen, Neuwhite Paper Pulp Sdn Bhd diserap sebagai rakan JV pada 9 Mei 2025 menerusi ikatan pengesahan perjanjian tambahan kepada perjanjian usaha sama (JVA) asal.
Ultimate Ivory Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Nextgreen, telah menandatangani dua perjanjian jual beli bersyarat pada 5 Disember 2025 untuk melupuskan dua bidang tanah bernilai RM39 juta dan RM30 juta, dengan jumlah keseluruhan RM69 juta.
Nextgreen berkata projek pulpa baharu itu akan dibangunkan dalam Green Technology Park (GTP) Pahang, sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan kapasiti kilang pulpa kertas bersepadu berasaskan sisa kelapa sawit.
Menurut kumpulan itu, fasiliti perintis berkapasiti 10,000 tan metrik (MT) mula dikomersialkan pada Julai 2022, sekali gus menjadi asas kepada lonjakan kapasiti menerusi projek berskala besar ini.
Dari sudut pembiayaan, Nextgreen berkata kos pembangunan RM882 juta tersebut akan dibiayai melalui gabungan sehingga RM290 juta pembiayaan ekuiti dan RM592 juta pembiayaan hutang.
Kumpulan itu turut menekankan kedudukan kewangan kukuh rakan strategiknya, dengan IOI Corporation Bhd memiliki permodalan pasaran sekitar RM25.77 bilion manakala Xiamen C&D Paper & Pulp Group Co Ltd bernilai kira-kira RM18.22 bilion, sekali gus memberi keyakinan terhadap struktur pembiayaan projek.
Menurut Nextgreen, penglibatan rakan kongsi strategik ini akan mengurangkan keperluan modal awal kumpulan, meningkatkan kredibiliti kewangan serta memudahkan akses kepada sumber pembiayaan jangka panjang.
“Kerjasama menerusi JV ini membolehkan NGGB mengoptimumkan penggunaan aset tanah sedia ada, di samping mempercepatkan pelaksanaan projek pulpa berskala besar dengan risiko kewangan yang lebih terkawal,” katanya.
Nextgreen berkata projek ini turut dijangka menyumbang kepada pertumbuhan hasil jangka panjang kumpulan sejajar dengan permintaan global terhadap pulpa kertas lestari berasaskan bahan buangan pertanian. - DagangNews.com


